Video tular proses ayam: Halal bukan sekadar logo pada bungkusan – Dr Zulkifli

SHAH ALAM - Isu halal dan haram makanan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan tuntutan agama, amanah dan tanggungjawab terhadap pengguna muslim.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri malah menegaskan, halal bukan sekadar logo pada bungkusan tetapi melibatkan amanah, bermula proses penyembelihan sehingga makanan itu sampai ke meja pengguna.
"Ramai yang menghubungi saya bagi mendapatkan pandangan berhubung isu sembelihan ayam oleh warga asing yang didakwa dilakukan tidak mematuhi kaedah sembelihan ditetapkan oleh syarak.
"Begitu juga dengan laporan terbaharu berhubung kemasukan daging ayam sejuk beku melalui pintu sempadan yang menimbulkan keraguan terhadap status halalnya.
"Walau bagaimanapun, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk menyiasat dan memberikan penjelasan berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan undang-undang berkuat kuasa," katanya menerusi hantaran di Threads, pada Selasa.
Sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan menerima laporan berhubung video tular dakwaan pembekal ayam di sebuah premis di Kuala Lumpur tidak menyembelih ayam mengikut hukum syarak, tetapi mencampakkannya ke dalam air panas hidup-hidup.
Status halal dan rangkaian pengedaran ayam yang diproses juga didakwa diragui ramai pihak.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas syarikat bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) itu.
Dalam pada itu Dr Zulkifli turut memetik firman ALLAH SWT dalam Surah al-An'am yang mengingatkan umat Islam supaya tidak memandang ringan soal makanan halal.
"Semoga segala persoalan dapat dirungkai dengan telus demi memelihara kesucian halal dan kepentingan umat Islam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

