LHDNM beroperasi secara terhad sehingga PKP fasa tiga tamat

LHDNM akan kembali beroperasi semula esok dengan menawarkan perkhidmatan yang terhad sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga tamat.
LHDNM akan kembali beroperasi semula esok dengan menawarkan perkhidmatan yang terhad sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga tamat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan kembali beroperasi semula esok dengan menawarkan perkhidmatan terhad sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga tamat.

LHDNM dalam satu kenyataan memaklumkan, agensi berkenaan merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diklasifikasikan sebagai menjalankan fungsi perkhidmatan penting (essential services) yang perlu diteruskan.

"Dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19), perkhidmatan yang ditawarkan LHDNM dalam tempoh PKP adalah terhad di mana perkhidmatan secara dalam talian dengan pelanggan akan diberi keutamaan.

"Sepanjang tempoh itu, kaunter perkhidmatan e-Filing dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak dibuka dan sebarang pengisian e-Filing dan permohonan baharu serta rayuan BPN boleh dilakukan sendiri secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, taklimat percukaian dan pembukaan kaunter perkhidmatan di luar pejabat LHDNM turut ditangguhkan.

Agensi itu turut memaklumkan pihaknya akan melaksanakan pemeriksaan ketat seperti saringan suhu badan dan gejala Covid-19 akan diteruskan terhadap semua pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat yang hadir untuk berurusan.

"Bagi pelawat dan pelanggan yang hadir untuk janji temu dengan pegawai, mereka perlu melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan yang disediakan sebelum kebenaran untuk berurusan dengan pegawai LHDNM dibenarkan.

"Pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut serta mematuhi arahan penjarakan sosial sepanjang berada di premis LHDNM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh diajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di 03-89111000 atau 603-8911 100 (luar negara), Hasil Live Chat, borang maklum balas di portal rasmi LHDNM dan Facebook dan Twitter rasmi LHDNM.