171 individu ditahan kes dadah

SUNGAI BULOH – Seramai 171 individu ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dilaksanakan di enam daerah di Selangor sejak Isnin hingga Rabu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 133 individu termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 61 tahun ditahan mengikut Seksyen 31 Akta Penagih Dadah dan Penyalahgunaan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
"Dadah jenis methamphetamine atau syabu mencatatkan jumlah tertinggi dikesan disalah guna, melibatkan 72 individu atau 54 peratus, diikuti heroin sebanyak 18 peratus dan ganja enam peratus.
"Kita turut mengesan 29 individu yang menyalahgunakan daun ketum atau mitragynine,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Zainudin berkata, seramai 20 pegawai dan 100 anggota AADK terlibat dalam operasi di daerah Petaling, Kuala Langat, Gombak, Sepang, Hulu Langat dan Klang.
"Objektif utama pelaksanaan Operasi Perdana adalah untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan di kawasan yang telah dikenal pasti.
"Pelaksanaan operasi ini juga diharap dapat menyediakan persekitaran kondusif yang bebas dadah bagi menjamin program pencegahan dadah dalam masyarakat yang dilaksanakan oleh AADK dan pelbagai pihak lain dapat dilaksanakan dengan lebih efektif," katanya.
Menurutnya, aktiviti penyalahgunaan dadah di negeri ini dikesan berlaku di kawasan terpencil dan belakang rumah yang dipercayai dijadikan lokasi urus niaga serta mendapatkan bekalan, khususnya syabu dan heroin.
"Berdasarkan risikan, setiap lokasi berkenaan dianggarkan dikunjungi antara 30 hingga 60 individu sehari," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Zainudin berkata, bagi operasi di seluruh negara, AADK merekodkan 30,157 individu ditahan dari Januari hingga 18 Oktober lalu menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang dijalankan.
"Kita menggalakkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan ketum supaya tampil secara sukarela ke pejabat AADK daerah atau negeri, atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya keadaan memerlukan termasuk apabila kegiatan berkenaan menjejaskan ketenteraman awam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
