Jangan tular kes lama isu azan di Sungai Buloh - Polis

KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula isu lama berkaitan dakwaan gangguan azan subuh di Sungai Buloh yang kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil semakan mendapati hantaran bertajuk "Dakwaan Azan Subuh Ganggu Tidur, ADUN Buat Laporan Polis” itu merujuk kepada insiden lama yang telah disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.
"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyebarkan berita palsu, hasutan atau kandungan yang boleh menggangu ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan malam ini.
Hantaran yang tular itu dipercayai merujuk kepada insiden membabitkan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membuat laporan polis selepas menerima aduan mengenai tindakan seorang lelaki bukan Islam memasuki sebuah surau di Puncak Alam tanpa kebenaran.
Pada kejadian sekitar Jun 2021 itu, lelaki berseluar pendek berkenaan mendakwa berbuat demikian bagi memeriksa kelantangan pembesar suara surau selepas menerima aduan daripada penduduk bukan Islam lain yang mendakwa azan subuh mengganggu waktu tidur mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
