Mohd Shuhaily dibarisi sembilan peguam kes berprofil tinggi

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (depan kanan) bersama peguamnya ketika tiba di Kompleks Mahkamah Sepang hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan berhubung dakwaan mengasari dua anggota polis di Terminal 1 KLIA. Foto Bernama
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (depan kanan) bersama peguamnya ketika tiba di Kompleks Mahkamah Sepang hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan berhubung dakwaan mengasari dua anggota polis di Terminal 1 KLIA. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berdepan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dibarisi sembilan peguam, termasuk beberapa pengamal undang-undang berpengalaman dalam kes jenayah serta berprofil tinggi.

Semasa prosiding, Mohd Shuhaily, 54, diwakili peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali, Kitson Foong dan Badruzzaman Ishak.

Rosal dan Ahmad Zaidi merupakan antara barisan peguam yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes 45 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram pada 2018.

Berdasarkan rekod, Kitson mempunyai pengalaman luas dalam pembelaan jenayah, termasuk kes pengkhianatan berkaitan kumpulan Al-Maunah, pemerdagangan dadah dan terbaharu kes bunuh dalam kejadian tikam pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025.

Sementara Yaacob merupakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik pada 21 Mac 2016 dan pernah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Akberdin bukan sahaja mengendalikan kes syariah malah berpengalaman dalam kes jenayah.

Beliau dilantik sebagai peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Disember 2018 berkaitan projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak, yang bernilai RM1.25 bilion.

Baljit telah mengendalikan kes saman anak guamnya, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan, berhubung penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.

Kes itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 April 2022, tanpa pengakuan liabiliti oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Md Yunos bersama Yaacob disenaraikan sebagai peguam yang mewakili sepasang suami isteri yang berdepan 75 pertuduhan berkaitan penerimaan deposit tanpa lesen, skim pelaburan tidak berdaftar dan pengubahan wang haram di Ipoh pada September 2025.

Muhammad Rafique turut terkenal dengan kes berprofil tinggi antarakan membabitkan jenayah dan saman sivil oleh bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.

Pada Rabu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter J Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 1.17 hingga 1.35 tengah hari 28 September lalu.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua, kanan) ketika sidang media selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua, kanan) ketika sidang media selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!