NCT World, Sidec kerjasama perkukuh ekosistem pembuatan robotik Selangor

NCT World Sdn Bhd (NCT), anak syarikat milik penuh NCT Alliance Berhad bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bagi membangunkan dan memperkukuh ekosistem pembuatan robotik di Selangor.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Kerjasama (MoC) sempena SPARK 2026, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor ke-10, bagi menyokong usaha menjadikan Selangor antara hab robotik dan pembuatan termaju terbesar di rantau ini.
Menerusi kerjasama berkenaan, NCT akan bertindak sebagai rakan kongsi infrastruktur perindustrian dengan menyediakan NCT Smart Industrial Park (NSIP) sebagai salah satu pangkalan bagi inisiatif itu.
NSIP yang terletak di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), merupakan Taman Perindustrian Terurus (MIP) pertama di Malaysia dan akan menyediakan kemudahan kilang kepada pengeluar robotik serta automasi yang mahu memulakan operasi di Selangor.
Kerjasama itu turut menawarkan pilihan pemilikan dan penggunaan kilang yang fleksibel kepada pengeluar yang diperkenalkan menerusi inisiatif itu, termasuk pembelian terus, sewa sebelum beli serta pajakan kilang siap bina.
Pilihan tersebut bertujuan membantu pengeluar, khususnya pengendali berskala besar, memulakan operasi dengan tempoh dan kos persediaan yang lebih rendah.
Sementara itu, Sidec akan memudah cara proses rujukan dan memperkenalkan pengeluar serta pelabur robotik tempatan dan antarabangsa kepada pembangunan perindustrian NCT.
Kedua-dua pihak juga akan berkongsi maklumat, sumber dan pandangan industri yang berkaitan bagi menyokong pembangunan serta pelaksanaan inisiatif itu.
Kerjasama berkenaan turut menyasarkan penyatuan pengeluar robotik dan automasi, penyedia teknologi, bakat serta pelabur dalam satu ekosistem yang disokong NSIP bagi aktiviti pemasangan, pembuatan dan pameran produk robotik serta automasi.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance Berhad, Datuk Sri Yap Ngan Choy berkata, landskap perindustrian kini berkembang pesat dengan robotik, automasi dan pembuatan termaju memainkan peranan semakin penting dalam menentukan daya saing Malaysia pada masa hadapan.
Beliau berkata, kerjasama dengan Sidec itu bertujuan menyediakan infrastruktur, fleksibiliti dan persekitaran yang diperlukan pengeluar untuk memulakan serta mengembangkan operasi mereka di Selangor.
“Selain menyediakan ruang perindustrian, NSIP direka untuk menyokong ekosistem yang membolehkan syarikat teknologi, pengeluar dan pelabur memulakan operasi, mempamerkan keupayaan masing-masing serta berkembang dengan lebih cekap dari Selangor,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting ke arah menjadikan Selangor antara hab robotik dan pembuatan termaju terbesar di rantau ini.
Menurutnya, usaha menghimpunkan syarikat teknologi, pelabur dan rakan kongsi infrastruktur perindustrian seperti NCT bertujuan membangunkan ekosistem yang membolehkan pelbagai industri, termasuk sektor robotik dan automasi, memulakan operasi, menjalankan aktiviti pembuatan, mempamerkan produk serta mengembangkan perniagaan dari Selangor.
“NSIP amat sesuai untuk tujuan ini kerana mempunyai infrastruktur lengkap, keterlihatan tinggi dan lokasi strategik, selain kemudahan kilang siap bina yang membolehkan pengendali industri memulakan operasi dengan segera.
“Dengan NSIP berperanan sebagai salah satu pangkalan ekosistem ini, kami melihat potensi besar untuk menarik syarikat tempatan dan antarabangsa yang mencari pintu masuk strategik ke pasaran Malaysia, di samping mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama teknologi, pelaburan dan pembangunan industri,” katanya.
Inisiatif itu selaras dengan mandat Sidec untuk menerajui transformasi digital Selangor, mempercepat pertumbuhan syarikat teknologi, menyokong pendigitalan perniagaan serta menggalakkan pelaburan digital dan penggunaan teknologi baharu.
Bagi NCT, kerjasama berkenaan merupakan langkah untuk memperkukuh peranan NSIP sebagai platform perindustrian yang bersedia memenuhi keperluan masa hadapan sektor pembuatan berteraskan teknologi.
Menerusi sokongan terhadap pertumbuhan aktiviti robotik, automasi dan pembuatan termaju, NCT berhasrat mengukuhkan kedudukan NSIP sebagai pangkalan strategik bagi syarikat yang mahu memulakan dan mengembangkan operasi di Selangor.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, NCT dan Sidec turut merancang menganjurkan Malaysia–China Robotics Day pada Januari 2027, yang dijangka menghimpunkan 15 syarikat robotik dan automasi, terdiri daripada 10 syarikat dari Republik Rakyat China dan lima syarikat dari Malaysia.
Acara itu bertujuan mempamerkan teknologi serta membuka peluang pelaburan dan padanan perniagaan di Selangor termasuk di NSIP.
Selain penyediaan infrastruktur perindustrian, NCT mempunyai penyertaan strategik sebagai rakan kongsi terhad dalam Ehsan Semiconductor Fund bernilai RM100 juta yang diasaskan bersama oleh Sidec.
Dana tersebut melabur dalam teknologi semikonduktor, pemangkin ekosistem dan industri yang menggunakan teknologi semikonduktor, termasuk tetapi tidak terhad kepada sektor robotik, pengendali Ekonomi Altitud Rendah (Low Altitude Economy, LAE) dan pengeluar sistem autonomi, sejajar dengan Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
