Jerebu di Indonesia jejas lebih 2,600 penerbangan sejak Ogos

JAKARTA - Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di seluruh Indonesia menjejaskan 2,604 penerbangan domestik sejak Ogos lalu, selain menyebabkan 14 penerbangan antarabangsa dibatalkan.
Ketua Pengarah Perhubungan Udara Indonesia, Lukman F Laisa berkata, gangguan yang direkodkan antara 11 Ogos hingga 19 Okt itu membabitkan 1,420 penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan, 1,129 mengalami kelewatan, 23 dialihkan ke lapangan terbang lain, enam berpatah balik ke lapangan terbang asal dan 26 dijadualkan berlepas lebih awal.
Sementara itu, beliau berkata, 14 pembatalan penerbangan antarabangsa membabitkan 12 penerbangan bagi laluan pergi balik Singapura-Pontianak antara 12 hingga 23 September dan dua penerbangan bagi laluan pergi balik Singapura-Palembang pada 15 Oktober.
"Keselamatan penerbangan kekal menjadi keutamaan kami. Setiap keputusan operasi perlu mengambil kira keadaan cuaca, jarak penglihatan serta penilaian keselamatan oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Sehubungan itu, jadual penerbangan mungkin diselaraskan sekiranya keadaan di lapangan tidak membolehkan operasi dijalankan dengan selamat," kata beliau dalam satu kenyataan.
Lukman berkata, pengendali lapangan terbang di kawasan terjejas telah diarahkan memperkukuh langkah keselamatan, termasuk melaksanakan prosedur ketika jarak penglihatan rendah, meningkatkan penyelarasan dengan pihak berkuasa navigasi udara dan meteorologi serta mengeluarkan notis penerbangan.
Sementara itu, Kementerian Perhutanan Indonesia menerusi kemas kini di media sosial memaklumkan jumlah titik panas di seluruh negara menurun kepada 487 setakat 9 malam Isnin, berbanding 1,104 pada hari sebelumnya.
Di enam wilayah, jumlah titik panas berkurangan daripada 748 kepada 172, dengan Sumatera Selatan merekodkan 64 titik panas, Kalimantan Tengah (49), Kalimantan Selatan (40), Kalimantan Barat (12) dan Jambi (tujuh), manakala Riau tidak merekodkan sebarang titik panas.
Walaupun jumlah keseluruhan menurun, kementerian itu memaklumkan peningkatan titik panas masih berlaku di Sumatera Selatan dan Kalimantan Selatan, manakala kualiti udara di beberapa kawasan di Kalimantan, Sumatera dan Papua kekal pada tahap tidak sihat hingga sangat tidak sihat, dengan keadaan berbahaya turut dilaporkan di sesetengah lokasi.
Menurut kementerian itu, sebanyak 61 pesawat masih berada dalam keadaan siap siaga bagi operasi memadam kebakaran, terdiri daripada 44 pesawat untuk operasi pengeboman air dan 17 bagi rondaan udara serta operasi pengubahsuaian cuaca.
Pada masa sama, pasukan darat meneruskan usaha memadam kebakaran dan menyejukkan kawasan tanah gambut yang terjejas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
