Singapura ambil tindakan ke atas tiga lagi syarikat

SINGAPURA - Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) akan mengeluarkan notis kepada tiga lagi syarikat di Indonesia berhubung kebakaran di Kalimantan yang berkemungkinan mencetuskan kepada jerebu toksik di negara itu.
Tindakan itu menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura (THPA) meningkat kepada 10.
Menerusi kenyataan pada Isnin, NEA memaklumkan terdapat petunjuk bahawa asap daripada kebakaran di kawasan konsesi milik ketiga-tiga syarikat itu berkemungkinan telah merebak hingga ke Singapura.
Tiga firma itu ialah PT Buana Megatama Jaya, PT Mananjung Hayak dan PT Baratama Putra Perkasa.
Langkah terbaharu itu diambil tiga hari selepas agensi tersebut mengeluarkan notis serupa kepada tujuh syarikat Indonesia berhubung kebakaran hutan dan tanah di Sumatera.
"Mereka perlu mengerahkan pasukan pemadam api, menghentikan sebarang aktiviti pembakaran dan mengemukakan pelan tindakan kepada NEA yang memperincikan langkah untuk mencegah kejadian sama daripada berulang.
“Kami kekal komited untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan di Singapura,” menurut agensi itu lagi.
Notis itu dikeluarkan susulan kenyataan Grace Fu pada Jumaat lalu yang menegaskan NEA akan memperluas tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat lain sekiranya kebakaran di kawasan konsesi mereka dikesan menyumbang kepada jerebu rentas sempadan di Singapura. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

