IRGC beri amaran sasaran baharu, sentuh isu 7 kabel internet dasar laut

- Foto: Anadolu Ajansi
- Foto: Anadolu Ajansi
A
A
A

ISTANBUL - Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Isnin memberi amaran akan mendedahkan sasaran dan persenjataan baharu, sambil menarik perhatian terhadap kabel internet dasar laut utama yang merentasi Selat Hormuz ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) berterusan, lapor Anadolu Ajansi.

"Terdapat tujuh kabel internet utama yang merentasi dasar Selat Hormuz.

"Kami hanya mahu mereka tahu bahawa sasaran baharu akan didedahkan. Senjata baharu juga akan diperkenalkan," kata jurucakap IRGC Hossein Mohebbi, sambil mendakwa semua trafik data internet dan komersial melalui kabel berkenaan.

Menurut penyiar kerajaan Iran, IRIB, Mohebbi membuat kenyataan itu ketika menghadiri satu majlis di Muzium Pertahanan Suci di Tehran.

Beliau turut berikrar untuk mengusir apa yang disifatkannya sebagai saki-baki pengaruh kuasa AS dari rantau berkenaan.

Awal bulan ini, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei memberitahu penyiar kerajaan Press TV bahawa Tehran boleh menyasarkan kabel internet dasar laut, pusat data dan kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang mempunyai kaitan dengan AS sekiranya perang baharu tercetus.

"Kami masih belum memasukkan aset berkenaan dalam senarai sasaran kami," kata Rezaei sambil memberi amaran bahawa infrastruktur itu boleh dimusnahkan sekiranya konflik kembali tercetus.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb lalu, yang menyaksikan Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau itu serta secara berkesan menutup Selat Hormuz.

Washington kemudiannya mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Artikel Berkaitan:

AS dan Iran selepas itu menandatangani memorandum persefahaman pada Jun berhubung kebebasan pelayaran di selat berkenaan, namun pelaksanaannya terbantut susulan perselisihan mengenai aspek keselamatan di laluan perairan strategik itu. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!