PBB beri amaran risiko banjir, runtuhan tanah di Gaza menjelang musim sejuk

Stephane Dujarric - Foto: Agensi
Stephane Dujarric - Foto: Agensi
A
A
A

HAMILTON - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memberi amaran bahawa penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza berdepan risiko serius banjir dan runtuhan tanah menjelang musim sejuk, ketika usaha penyaluran bantuan terhalang akibat kekurangan dana serta sekatan terhadap kemasukan bekalan, lapor Anadolu Ajansi.

Memetik maklumat daripada Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang media berkata, pihaknya telah menilai tapak penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, yang menempatkan lebih 650 keluarga di Khan Younis, termasuk 160 keluarga yang tinggal di kawasan tanah rendah yang berlekuk, yang sebelum ini menjadi tempat takungan air hujan tetapi kini berisiko dilanda banjir akibat air hujan serta kumbahan.

Dujarric berkata, PBB dan rakan kongsinya pada Isnin turut menilai lima lagi tapak penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kawasan tanah rendah di Khan Younis yang menempatkan kira-kira 750 orang.

"Kami juga telah menilai tapak keenam yang menempatkan beberapa keluarga di pinggir cenuram yang menghadap lima tapak penempatan di kawasan tanah rendah itu.

Kami bimbang hakisan tanah pada musim sejuk ini boleh menyebabkan tanah di bawah khemah yang didirikan di pinggir cenuram itu runtuh," katanya.

Di seluruh Gaza, rakan kongsi PBB sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan saliran, penyusunan guni pasir dan perataan tanah bagi membantu komuniti terbabit.

Bagaimanapun, usaha itu terbantut akibat kekurangan dana dan sekatan terhadap kemasukan pelbagai bekalan penting.

Dujarric berkata, rakan kongsi dalam sektor perlindungan sementara melaporkan bahawa "bekalan yang tersedia ketika ini hanya mencukupi untuk menampung sebahagian keperluan bagi kurang daripada satu perlima daripada hampir 300,000 keluarga yang memerlukan bantuan tempat perlindungan bagi menghadapi musim sejuk.

Serangan genosid Israel di Gaza yang bermula pada Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 74,000 orang dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, selain memusnahkan 90 peratus infrastruktur awam.

Artikel Berkaitan:

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, Israel terus melancarkan serangan artileri dan tembakan serta merobohkan struktur milik penduduk Palestin, sekali gus memburukkan lagi kemusnahan yang berlaku. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!