'Tuhan bagi pinjam Muhammad Faiz sekejap sahaja'

Keadaan rumah dua tingkat separuh kekal yang dihuni 18 sekeluarga yang terbakar dalam kejadian di Kampung Bukit Pasir, Endau, Mersing, Johor malam tadi.Gambar kecil: Muhammad Faiz Fikri
Keadaan rumah dua tingkat separuh kekal yang dihuni 18 sekeluarga yang terbakar dalam kejadian di Kampung Bukit Pasir, Endau, Mersing, Johor malam tadi.Gambar kecil: Muhammad Faiz Fikri
A
A
A

MERSING - Bapa kepada Muhammad Faiz Fikri, 4, kanak-kanak malang yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bukit Pasir, Endau di sini malam tadi terkilan apabila anak kesayangannya itu tidak dapat diselamatkan.

Sohari Kahar, 40, berkata, dia dan ahli keluarga bagaimanapun reda dan menganggap ujian besar buat mereka lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.

"Saya reda dengan kejadian ini dan ini adalah ujian besar buat kami bukan sahaja rumah pusaka kami hangus malah anak keempat daripada enam beradik turut terkorban.

"Tuhan bagi pinjam dia (Muhammad Faiz) sekejap sahaja," katanya sebak ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menceritakan tragedi itu, Sohari berkata, ketika kejadian dia bersama dua lagi adiknya, Shokeri, 31, dan Muhammad Soffi, 23, berada di sawah untuk membaiki mesin padi berdekatan tempat kejadian.

"Saya nampak api dari jauh tempat kami baiki mesin padi, ingatkan orang bakar jerami tapi bila adik saya yang lain datang beritahu rumah ayah terbakar.

"Sampai sahaja kami dah tidak sempat buat apa-apa sebab api marak, adik-beradik dan emak ayah sempat selamatkan diri dengan bantuan ahli keluarga serta jiran.

"Biasanya anak saya bermain dengan tiga lagi sepupu yang sebaya umur dengannya tapi malam tadi entahlah macam mana dia main seorang diri dekat bilik bahagian atas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, adik iparnya, Muhammad Hazwami Eruddin Muhiddin, 28, berkata, ketika kejadian Muhammad Faiz bermain seorang diri di dalam bilik tingkat atas rumah dua tingkat separuh kekal yang didiami 18 sekeluarga itu.

Katanya, tiba-tiba bekalan elektrik rumah terputus sebelum terhidu bau asap dan menyedari api marak dari bilik atas.

"Kami yang ada dalam rumah sempat menyelamatkan diri malah isteri saya yang dalam pantang melahirkan anak sulung baru seminggu bangun menyelamatkan bayi.

"Saya tidak sempat nak selamatkan dia (Muhammad Faiz) sebab api marak dengan cepat," katanya.

Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, Muhammad Faiz ditemui pasukan penyelamat di bahagian tangga tingkat bawah rumah dua tingkat separuh kekal terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.19 malam sebelum empat jentera bersama 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 80x120 kaki terbakar kira-kira 70 peratus pada bahagian atas rumah berkenaan.

"Mayat mangsa dijumpai berada pada bahagian tangga tingkat bawah sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kanak-kanak 4 tahun rentung