Gelombang protes gegar Eropah

PROTES membantah peningkatan kos sara hidup yang tercetus di Perancis turut merebak ke beberapa negara Eropah lain, termasuk Belgium, Portugal, Itali dan Albania.
Demonstrasi di beberapa lokasi pada akhir minggu lalu bertukar kecoh sehingga mencetuskan pertembungan antara penunjuk perasaan dengan polis, sekali gus menambah tekanan terhadap kerajaan masing-masing ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan.
Meskipun demonstrasi di negara-negara berkenaan tidak diselaraskan sebagai satu gerakan bersama, peningkatan kos sara hidup, beban perbelanjaan harian, peluang pendidikan yang terhad serta prospek ekonomi yang tidak menentu antara faktor mendorong rakyat turun ke jalanan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
Perkembangan itu menunjukkan cabaran yang semakin meruncing dihadapi blok Eropah apabila rakyat semakin lantang menuntut penyelesaian terhadap tekanan kos sara hidup, kesukaran mendapatkan kediaman mampu milik, beban pendidikan serta ketidaktentuan masa depan.

Portugal: Krisis perumahan bebankan penduduk
Di Portugal, puluhan ribu orang berarak di Lisbon bagi membantah peningkatan kos sara hidup, gaji rendah dan kesukaran mendapatkan kediaman mampu milik.
Demonstrasi yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja terbesar negara itu, CGTP turut menyaksikan peserta menuntut kenaikan gaji dan pencen serta langkah lebih berkesan untuk menangani peningkatan kos perumahan dan bahan api.
Krisis perumahan menjadi antara isu utama apabila harga rumah di Portugal meningkat lebih dua kali ganda sejak 2017 manakala kadar sewa bagi kontrak baharu meningkat dalam tempoh sama.
Keadaan itu menyukarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk mendapatkan kediaman terutamanya di bandar utama seperti Lisbon.
Sewa bulanan ketika ini berjumlah 716 euro (RM3,291), namun kadar baharu dijangka meningkat kepada lebih 1,200 euro (RM5,515).
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Parlimen Portugal, Carlos Abreu Amorim berkata, kerajaan sedang mengambil langkah untuk menangani kebimbangan penduduk dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan tunduk kepada tekanan demonstrasi.

Belgium: Pelajar bantah kos pendidikan
Ratusan penunjuk perasaan kebanyakannya golongan muda berhimpun di Brussels bagi membantah kos pendidikan dan pembaharuan yang dibimbangi menjejaskan akses kepada pengajian tinggi.
Demonstrasi itu turut berkait dengan kebimbangan terhadap kenaikan yuran universiti dan kemampuan pelajar menampung perbelanjaan sepanjang pengajian.
Keadaan menjadi tegang apabila sebahagian peserta bertindak ganas hingga pihak berkuasa terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan mereka.
Protes pelajar turut berlangsung di Liege yang menyuarakan kebimbangan terhadap kos pengajian dan sistem pendidikan.
Menteri Dalam Negeri, Bernard Quintin mengecam keganasan yang berlaku dan menegaskan pihak berkuasa akan mengambil langkah sewajarnya untuk memulihkan ketenteraman awam.

Itali: Protes kos sara hidup
Demonstrasi turut berlangsung di Milan dan Bologna ketika penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan ekonomi dan kos sara hidup.
Di Milan, keadaan bertukar kecoh apabila sebahagian penunjuk perasaan bertopeng bertempur dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ketika berusaha mengawal keadaan.
Laporan media turut menyebut insiden penjarahan kedai, kebakaran dan penahanan penunjuk perasaan ketika demonstrasi berlangsung.
Bagaimanapun, skala dan punca khusus demonstrasi berbeza mengikut lokasi dan tidak semua peserta terlibat dalam keganasan didalangi 'puak perusuh' hingga mencetuskan kekacauan meluas.

Albania: Desak PM berundur
Di Albania, ribuan penunjuk perasaan termasuk golongan muda berhimpun di ibu kota Tirana bagi mendesak Perdana Menteri, Edi Rama meletakkan jawatan.
Bantahan yang berlarutan hampir seminggu itu didorong oleh dakwaan rasuah dalam kerajaan, kekurangan peluang pekerjaan dan rasa tidak puas hati terhadap sektor pendidikan.
Keadaan bertukar ganas apabila sebahagian penunjuk perasaan bertopeng membaling objek ke arah polis antirusuhan yang bertindak balas menggunakan gas pemedih mata, bom kejut dan meriam air.
Seramai 500 penunjuk perasaan ditahan dan 330 daripada mereka dibebaskan. Kira-kira 120 anggota polis dan 45 penunjuk perasaan turut dilaporkan cedera.
Rama yang memegang jawatan Perdana Menteri sejak 2013 dan memenangi penggal keempat pada Pilihan Raya 2025 berdepan tekanan supaya melakukan perubahan dalam pentadbiran negara.
Bantahan itu turut mencerminkan keresahan rakyat terutamanya golongan muda terhadap peluang pekerjaan, kualiti pendidikan serta tahap kepercayaan terhadap institusi kerajaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

