DAK: Pelupusan aset hidup yang dipertikai ketelusan

KISAH tiga gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat (sering disebut sebagai DAK) cukup menyentuh hati kerana mereka dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia tetapi kini dihantar jauh ke negara asing atas nama pemuliharaan serta kerjasama antarabangsa.
DAK sebelum ini dilapor dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Tennoji Zoo, Osaka pada Mac 2026.
Dara (14), Amoi (9) dan Kelat (20) bukan sekadar haiwan di zoo, tetapi sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang mempunyai nilai konservasi tinggi.
Perdebatan mengenai DAK semakin hangat apabila pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis kebajikan haiwan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hidup gajah-gajah berkenaan.
Menjadi tanda-tanya bagaimana pelupusan aset hidup telah dilaksanakan di bawah Tatacara Pengurusan Aset Hidup Haiwan (TPH) iaitu pemindahan ke luar negara telah berlaku tanpa sebarang hebahan umum di Malaysia.
Mengikut prosedur TPH, telah dikategorikan secara terang-terangan bahawa kumpulan haiwan mamalia (bercirikan saraf tunjang, bertulang belakang, mempunyai jantung dengan empat ruang dan pelbagai ciri lain) seperti tiga ekor gajah di atas, perlu menjalani beberapa perekodan khusus sebelum dijalankan operasi pelupusan aset hidup.
Merungkai prosedur khusus tersebut, disenaraikan beberapa akta dan peraturan aset hidup haiwan yang mesti diteliti dan dipatuhi iaitu berdasarkan Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta 1452), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), Akta Makanan Haiwan (Akta 696), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Akta Pemerdagangan Antarabangsa mengenai spesies Terancam 2008 (Akta 686), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, Akta Kastam 1967 dan Akta Doktor Vaterinar 1974 (Akta 147).
Kesemua akta-akta tersebut adalah prosedur yang ketat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan gajah tersebut terpelihara sebaik-baiknya.
Berdasarkan informasi di atas, saya selaku Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), telah meneliti dengan tertib berkaitan isu pemindahan DAK yang menjadi tanda tanya berkaitan perekodan dokumen-dokumen rasmi berkaitan bagi setiap akta tersebut dibuat atau tiada.
Kesangsian ini meluas apabila didapati tiada sebarang rekod asas mengikut akta-akta berkaitan ditonjolkan secara terbuka. Malahan ada beberapa dokumen rasmi seperti dokumen pengesahan doktor veterinar yang mencurigakan apabila gajah-gajah tersebut dinyatakan dihantar dari Zoo Taiping di Perak tetapi ditandatangani oleh doktor veterinar dari negeri Pahang!
Persoalannya, adakah gajah-gajah tersebut milik Kuala Gandah di Pahang atau Zoo Taiping menjadi platform keuntungan atau lompatan yang mencurigakan dalam pemindahan aset hidup ini?
Ditekankan juga, persoalan rekod masuk aset hidup ke Zoo Taiping di Perak yang tidak jelas keberadaanya, malahan borang-borang seperti Borang KEW.AH-16 (perakuan pelupusan), KEW.AH-18 (pelupusan aset hidup), dokumen laporan keputusan lembaga TPH dan surat kelulusan selaku kuasa melulus, yang biasanya adalah di tangan menteri berkaitan atau Ketua Pengarah Perhilitan yang dipersoal keberadaannya.
Apa yang jelas ialah terdapat isu yang amat serius boleh diperincikan yang mana sebarang pemindahan aset hidup mestilah mestilah daripada satu keadaan yang kurang baik ke satu tempat yang lebih baik.
Keadaan ini amat berbeza, di mana gajah-gajah DAK ini dipindahkan dari kawasan santuari Kuala Gandah yang diiktiraf baik seakan habitat sebenar dan kemudahan yang lebih sesuai untuk penjagaan gajah tetapi dihantar ke habitat konkrit di tengah kota Osaka iaitu ke Zoo Tennojin.
Ternyata, tindakan ini telah melanggar akta atas dasar ‘sebab-sebab pemindahan’ atas alasan kononya untuk konservasi tetapi sebaliknya dapat dilihat gajah-gajah tersebut dihantar ke lokasi yang lebih rendah mutunya.
Pelanggaran faktor ini boleh didakwa, malahan gajah-gajah tersebut boleh dibawa pulang ke negara asal kerana gajah memerlukan ruang legar yang lebih luas dan habitatnya mestilah seakan habitat semulajadi.
Juga dipertikaikan sebab-sebab pelupusan aset hidup gajah dibuat, adakah gajah-gajah DAK tersebut dibuat atas dasar komersial (B to B), atau adakah mereka ganas dan mengancam keselamatan haiwan lain, atau adakah mereka berpenyakit, atau adakah lambakan haiwan di lokasi asal, atau diserah atas dasar diplomatik yang mana Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sendiri mengaku tidak tahu urusan berkaitan telah berlaku, atas kenyataan rasmi menteri berkaitan.
Selain itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebelum ini turut menggesa supaya DAK dibawa pulang ke Malaysia sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip kebajikan hidupan liar.
Malah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menawarkan agar ketiga-tiga gajah ini ditempatkan semula di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat semula jadi mereka.
Saya amat kesal terhadap insiden ini. Namun DAK telah membuka mata rakyat Malaysia dan dunia, terjadinya isu tidak berintegriti dan tidak telus (sangsian) di mana jabatan berkaitan perlu membuat penjelasan agar rakyat Malaysia tahu situasi dan berita yang sahih.
Apapun, rakyat Malaysia ingin DAK dikembalikan segera agar kesejahteraan mereka sebagai khazanah negara terjamin.
*** Penulis ialah Pengasas & Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia & Renjer Konservasi Alam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
