Derita Gaza: Adakah dunia masih peduli?

Selepas 36 bulan, Gaza mungkin tidak lagi menjadi tumpuan utama dunia seperti dahulu, namun penderitaan penduduk Palestin masih belum berakhir.
Selepas 36 bulan, Gaza mungkin tidak lagi menjadi tumpuan utama dunia seperti dahulu, namun penderitaan penduduk Palestin masih belum berakhir.
A
A
A

TANGGAL 7 Oktober 2023 menjadi titik hitam yang mengubah landskap konflik Israel-Palestin. Sudah tiga tahun berlalu, namun perang ganas tersebut masih meninggalkan jejak kemusnahan yang dahsyat dan turut mengorbankan lebih 74,000 penduduk Palestin, membinasakan sebahagian besar kawasan di Genting Gaza serta mencetuskan malapetaka kemanusiaan yang seakan tiada penghujung.

Setahun lalu, gencatan senjata yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) akhirnya memaksa kedua-dua pihak menghentikan pertempuran walaupun sebahagian besarnya hanya di atas kertas.

Tiada lagi kempen pengeboman berskala besar, namun serangan Israel di Gaza masih berterusan. Pada masa yang sama, keganasan pelampau Yahudi di Tebing Barat juga semakin tidak terkawal.

Fasa pertama pelan 20 perkara yang dicadangkan Presiden Donald Trump bagi Gaza pada Oktober 2025 sebahagian besarnya berjalan seperti yang dirancang. Ia melibatkan pembebasan kesemua tawanan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin manakala mayat tebusan yang telah meninggal dunia dikembalikan secara berperingkat.

Ratusan ribu penduduk Gaza yang terpaksa bersesak di 'zon selamat' ciptaan Israel di kawasan selatan turut kembali ke bahagian utara wilayah itu selepas pengunduran tentera rejim Zionis.

Namun, harapan dunia untuk menyaksikan berakhirnya pertumpahan darah dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak berdosa ternyata tidak bertahan lama.

Imej satelit dikeluarkan Planet Labs PBC pada 23 September lalu menunjukkan kemusnahan teruk di kawasan tengah Gaza.
Imej satelit dikeluarkan Planet Labs PBC pada 23 September lalu menunjukkan kemusnahan teruk di kawasan tengah Gaza.

Setahun selepas gencatan senjata ditandatangani pada 9 Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan hampir 1,400 rakyat Gaza telah terkorban.

Artikel Berkaitan:

Bantuan kemanusiaan masih terbatas, usaha pembinaan semula yang dijanjikan juga belum bermula, penduduk Gaza yang berlindung di bawah khemah sementara bakal berdepan satu lagi musim sejuk dalam keadaan serba kekurangan.

Fasa kedua pelan damai Trump juga masih tertangguh hingga kini kerana pelucutan senjata oleh Hamas yang belum selesai dan penempatan pasukan antarabangsa serta peralihan kepada pentadbiran teknokratik pimpinan Ali Shaath yang masih tertunda.

Susulan berdepan tekanan banyak pihak, 'Lembaga Keamanan' dipengerusikan Trump pada minggu lalu mengumumkan pelan bernilai AS$2.45 bilion (RM10.01 bilion) untuk memulakan proses pembinaan semula dalam tempoh enam bulan.

Namun, jumlah itu hanyalah sebahagian kecil daripada AS$71.4 bilion (RM291.8 bilion) yang diperlukan untuk memulihkan Gaza dalam tempoh sedekad.

Semakin terpinggir

Perhatian dunia kini tertumpu kepada konflik lain, Gaza pula kembali berdepan persoalan yang sama: adakah dunia masih peduli dengan penderitaan kira-kira dua juta penduduk Palestin?

Ketidakstabilan di Asia Barat terus mendominasi tajuk berita termasuk konflik Yemen, Houthi dan gabungan Arab diketuai Riyadh.

Penduduk Palestin bergantung penuh kepada agihan makanan panas daripada dapur kecemasan agensi bantuan.
Penduduk Palestin bergantung penuh kepada agihan makanan panas daripada dapur kecemasan agensi bantuan.

Tumpuan media dan masyarakat antarabangsa terhadap sesuatu konflik sememangnya mudah berubah. Lazimnya, perhatian dunia meningkat ketika keganasan mencapai kemuncaknya sebelum perlahan-lahan beralih apabila krisis baharu muncul. Gaza tidak terkecuali. Liputan media terhadap Gaza turut berkurangan berikutan hanya serangan berintensiti rendah yang berlaku hampir setiap.

Pada masa yang sama, perang antara AS-Israel dan Iran yang bermula pada akhir Februari lalu kekal menjadi fokus utama. Perang Rusia-Ukraine dan konflik Lubnan-Israel turut bersaing untuk mendapatkan perhatian komuniti dunia.

Bagi kebanyakan individu, krisis antarabangsa bukanlah keutamaan utama dalam kehidupan seharian. Perkara seperti kesihatan, pekerjaan dan kos sara hidup lebih dekat dengan kehidupan mereka. Sebagai contoh, krisis di Selat Hormuz memberi kesan secara langsung kepada turun dan naik harga petrol. Sebaliknya, bagi sebahagian besar masyarakat dunia, krisis di Gaza adalah lebih kepada isu kemanusiaan.

Selepas 36 bulan, Gaza mungkin tidak lagi menjadi tumpuan utama dunia seperti dahulu, namun penderitaan penduduk Palestin masih belum berakhir.

Persoalannya, apabila dunia mula beralih kepada krisis lain, adakah nasib dan kesengsaraan penduduk Palestin akan perlahan-lahan dilupakan dan akhirnya dipinggirkan?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!