Petani Palestin bina semula ladang yang musnah

BURIN – Bagi Ghassan Najjar dan kira-kira 25 anggota Koperasi Tanah dan Pertanian Burin, mempertahankan tanah bukan sekadar soal pertanian, sebaliknya perjuangan untuk terus bertahan di tengah tekanan pendudukan Israel.
Pada 13 Julai lalu, kira-kira 10 pelampau Yahudi dilaporkan merosakkan kesemua lima rumah hijau milik koperasi selepas seorang pelampau sebelum itu membawa ternakan masuk ke kawasan berkenaan.
Lapisan plastik rumah hijau dikoyakkan manakala sistem pengairan turut dimusnahkan.
Menurut anggaran koperasi, kerosakan plastik sahaja mencecah kira-kira 30,000 shekel (RM40,500).
Koperasi turut kehilangan kira-kira 9,000 anak pokok tomato bernilai 8,000 shekel (RM10,800) yang dibeli pada hari sama untuk ditanam. Anak pokok itu mati dalam tempoh beberapa jam selepas rumah hijau dimusnahkan.
“Tahun ini merupakan tahun paling sukar untuk koperasi. Kami berdepan banyak serangan daripada pelampau dan tentera,” kata Najjar.

Beberapa minggu kemudian, lebih 1,500 pokok zaitun dan pokok lain di Burin turut musnah.
Menurut Najjar, sebahagiannya dibakar pelampau, manakala sebahagian lagi ditebang atau dicabut menggunakan jentolak tentera.
Tanaman gandum turut terjejas apabila kira-kira 7,000 daripada 10,000 meter persegi kawasan tanaman mereka musnah akibat kebakaran sebelum sempat dituai.
Keadaan itu berlaku ketika kebanyakan tanah pertanian Burin berada dalam zon ketenteraan tertutup yang menurut Najjar diperbaharui setiap satu atau dua bulan.
Data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menunjukkan 1,418 serangan pelampau yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta direkodkan di Tebing Barat sehingga Julai tahun ini. Jumlah itu menghampiri rekod 1,836 serangan sepanjang 2025.

Namun, serangan berulang tidak mematahkan semangat petani Burin. Mereka malah menggelar usaha mempertahankan tanah sebagai 'Program Tom and Jerry'.
“Kami pergi ke tanah itu awal setiap pagi. Apabila tentera datang, kami melarikan diri. Apabila tentera pergi, kami kembali semula,” kata Najjar.
Koperasi yang ditubuhkan pada 2020 itu kini mengusahakan kira-kira 25,000 meter persegi tanah bersama. Sebanyak 15 peratus hasil jualan disalurkan semula kepada kampung bagi membiayai program untuk kanak-kanak dan wanita.
Bagi Najjar, kegiatan bercucuk tanam juga menjadi cara untuk mempertahankan kebebasan dan kedaulatan makanan masyarakat Palestin.
“Apabila kamu bangun pada waktu pagi dan mengusahakan tanah sendiri, itulah kebebasan sebenar,” katanya.
Menurutnya, serangan pada Julai lalu merupakan kali ketujuh rumah hijau koperasi dirosakkan atau dimusnahkan.
“Kami lebih rela mati di tanah sendiri daripada menerima Nakba sekali lagi,” katanya sambil menegaskan mereka akan terus membina semula apa yang dimusnahkan.
Bagi Najjar, perjuangan itu bukan bergantung kepada seorang individu, sebaliknya diteruskan oleh seluruh komuniti.
Beliau menegaskan koperasi akan terus beroperasi walaupun dirinya ditahan, meninggal dunia atau tidak berada di Burin, kerana matlamatnya adalah untuk petani dan penduduk yang mahu mempertahankan tanah serta kedaulatan makanan mereka.
Di tengah kemusnahan berulang, mereka kini membina semula rumah hijau dan memasang pagar baharu sebagai persediaan menghadapi serangan seterusnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
