Kenderaan dinaiki pelakon Bollywood ditembak sekumpulan lelaki bersenjata

MUMBAI – Kenderaan dinaiki Pelakon Bollywood, Tiger Shroff ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di kawasan Juhu pada Ahad.
Memetik laporan The Hindu, pemandu aktor berkenaan dan seorang lagi pemandu beca bermotor dilaporkan tercedera dalam kejadian sekitar jam 7 petang itu.
Tiger Shroff dilaporkan terselamat tanpa mengalami kecederaan serius.
Polis menahan seorang suspek bagi membantu siasatan kejadian yang kembali mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan selebriti serta kebangkitan semula keganasan berkaitan kumpulan samseng dalam industri hiburan India.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis, Mohit Garg, kejadian berlaku ketika Shroff meninggalkan lokasi berkenaan selepas selesai bekerja.
Garg bagaimanapun enggan mengulas mengenai satu hantaran media sosial oleh kumpulan samseng yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Menteri Maharashtra merangkap Menteri Dalam Negeri, Devendra Fadnavis dilaporkan menghubungi Pesuruhjaya Polis Mumbai, Deven Bharti, bagi mengarahkan siasatan segera dijalankan serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terbabit.
Fadnavis dan Timbalan Ketua Menteri, Eknath Shinde turut menghubungi Shroff untuk menyatakan jaminan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas berhubung kejadian itu.
Shinde ketika bercakap kepada The Hindu mengecam serangan berkenaan dan menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan tindakan kumpulan jenayah yang cuba menakut-nakutkan penggiat industri perfileman.
Insiden itu turut mengundang kritikan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan sama ada golongan penjenayah masih gentar terhadap tindakan undang-undang di Maharashtra.
Pengarah filem, Ashoke Pandit turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan rasa tidak selamat dalam kalangan penggiat industri perfileman susulan kejadian tembakan di banglo milik Shetty serta serangan terbaharu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
