X

Kindly register in order to view this article
!

Bila menteri pakai kemeja batik...

Kemeja batik digayakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik perhatian netizen kerana ia kelihatan lebih santai dan menceriakan serta 'lari' dari penampilan formal dalam kalangan pemimpin negara.
A
A

KUALA TERENGGANU - “Rasa bangga juga apabila melihat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pakai baju batik rekaan kami, paling menghiburkan apabila ada yang menjadikannya sebagai inspirasi dalam menghasilkan kek.”

Demikian kata pereka dan pemilik Myriams Atelier Sdn Bhd, Zainab Othman susulan kelibat Ismail Sabri yang memakai kemeja batik dari Terengganu ketika sidang akhbar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga tular dalam media sosial.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata, kemeja batik berwarna putih bercorak bunga yang dipakai Ismail Sabri ketika sidang akhbar pada Sabtu lepas adalah antara koleksi Ahli Parlimen Bera itu yang lebih 15 tahun menjadi pelanggan setia syarikatnya.

Zainab yang memulakan perniagaan sejak 24 tahun lepas berkata, pujian dan perhatian netizen terhadap kemeja batik itu turut meningkatkan motivasinya untuk terus mengeluarkan produk berkualiti sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu khususnya.

Berdasarkan komen netizen dalam Facebook rasmi milik Ismail Sabri, kebanyakan mereka memuji pemakaian kemeja batik itu kerana ia kelihatan lebih santai dan menceriakan serta 'lari' dari penampilan formal dalam kalangan pemimpin negara.

Ismail Sabri ketika memuat turun status dalam Facebook itu memaklumkan beliau memilih batik kerana sidang akhbar itu dilakukan pada hujung minggu dan secara tidak langsung mahu mempromosikan batik Malaysia kepada orang ramai.

Naib Presiden UMNO itu juga mengakui gemar memakai kemeja batik Terengganu kerana rekaannya yang segar, moden dan gabungan warna yang menarik selain menghargai warisan seni, malah mahu terus memakai batik setiap Khamis serta rekaan lebih santai pada Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, beberapa pengusaha batik Terengganu mengakui mereka amat menghargai tindakan Ismail Sabri yang tampil dengan kemeja batik itu kerana ia mampu mendorong orang ramai menjadikan batik sebagai pakaian kasual mereka.

Pemilik Gee Batik Collection, Norazizah Kasim, 47, berkata, sidang akhbar yang disiarkan secara langsung itu ditonton di seluruh dunia dan ia mencerminkan imej kehalusan seni dan budaya Malaysia yang sangat dekat di hati rakyat.

"Jika lebih ramai Menteri, Timbalan Menteri serta ikon lain yang memakai batik, ia akan mempengaruhi rakyat Malaysia terutama golongan muda untuk terus memartabatkan pemakaian batik sebagai warisan kebudayaan negara," katanya.

Sementara pemilik A&Z Songket Che Mustaffa Che Ibrahim turut memuji penampilan menteri itu kerana ia umpama iklan dan promosi yang secara tidak langsung dapat membantu golongan usahawan dalam industri itu.

"Sebenarnya, memang ramai pemimpin negara yang menggemari rekaan batik Terengganu dan kita bersyukur kerana semakin ramai yang 'buka mata' dan tertarik untuk terus membeli kemeja batik setelah kagum dengan penampilan Ismail Sabri pada minggu lepas.

"Ia impak yang sangat positif untuk kami di Terengganu," katanya yang mengakui menerima banyak pertanyaan berkaitan batik dan songket Terengganu setelah para petugasnya meninggalkan komen dan nombor telefon syarikatnya dalam Facebook rasmi milik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!