Dua premis keagamaan diserbu, 6 warga Pakistan ditahan

GOMBAK – Kegiatan mencurigakan di dua premis keagamaan di Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana di sini membawa kepada penahanan enam warga Pakistan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 76 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan telah dibawa dan dikumpulkan oleh pihak polis untuk pemeriksaan awal sebelum semakan dokumen dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seksyen berkenaan berkaitan keperluan warga asing memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, tiada majikan dikenal pasti atau direkodkan terlibat dalam tindakan penguatkuasaan tersebut.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan akan disiasat dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

