Peguam jelaskan isteri Nazir Hussin hadir bantu siasatan, bukan ditahan SPRM

Kehadiran Norhazelim, isteri kepada Nazir Hussin ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu bagi membantu siasatan bukannya ditahan atau ditangkap
Kehadiran Norhazelim, isteri kepada Nazir Hussin ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu bagi membantu siasatan bukannya ditahan atau ditangkap
A
A
A

SHAH ALAM – Kehadiran Datin Seri Norhazelim Che Hussin, isteri kepada Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin, ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Rabu bukan kerana ditahan atau ditangkap, sebaliknya bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Peguam bela dan peguam cara, Sabrina Sharin berkata, status kehadiran Norhazelim itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai satu bentuk penahanan.

Menurutnya, penjelasan tersebut dibuat bagi memastikan fakta berhubung kehadiran anak guamnya itu tidak disalahertikan oleh media mahupun orang ramai.

“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM seperti yang dilaporkan media pada 14 Oktober lalu bahawa isteri dan pembantu Datuk Seri Nazir telah dilepaskan pada jam 1.15 tengah hari, saya ingin menjelaskan bahawa Datin Seri Norhazelim tidak ditahan atau ditangkap oleh SPRM.

“Kehadiran beliau adalah bagi membantu siasatan dan status tersebut tidak seharusnya disalahertikan sebagai suatu bentuk penahanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sabrina berkata, sepanjang Norhazelim berada di SPRM, berdasarkan pengetahuan dan pemerhatiannya sebagai peguam yang mengiringi anak guamnya itu, tiada sebarang perkara dibangkitkan berkaitan Yayasan Bank Rakyat.

Menurutnya, adalah penting untuk membezakan antara kehadiran seseorang bagi membantu siasatan dengan tindakan penahanan atau reman.

“Penggunaan istilah dalam laporan media hendaklah mengambil kira konteks sebenar supaya tidak menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap individu yang terlibat.

“Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan gambaran yang jelas dan tepat mengenai kehadiran beliau di Ibu Pejabat SPRM pada 14 Oktober 2026, sekali gus mengelakkan sebarang spekulasi atau salah faham yang boleh menjejaskan reputasi beliau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan SPRM memanggil Nazir Hussin, isterinya dan seorang pembantu bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan serta salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Kehadiran Nazir adalah bagi menerima notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, manakala isteri dan pembantunya dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, proses rakaman percakapan yang melibatkan isteri dan pembantu Nazir berlangsung selama kira-kira satu jam 30 minit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!