Lima ditahan dalam siasatan penipuan lebih AS$1.1 juta babitkan kapal tentera NATO

Siasatan tertumpu kepada dakwaan penipuan invois oleh sebuah syarikat bersama subkontraktornya yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kapal tentera NATO yang singgah di pelabuhan di barat laut Eropah. Foto Anadolu Ajansi
Siasatan tertumpu kepada dakwaan penipuan invois oleh sebuah syarikat bersama subkontraktornya yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kapal tentera NATO yang singgah di pelabuhan di barat laut Eropah. Foto Anadolu Ajansi
A
A
A

LONDON - Lima individu ditahan di Norway, manakala beberapa serbuan dilakukan di Romania dan Jerman sebagai sebahagian daripada siasatan rentas sempadan berhubung kes penipuan yang disyaki melibatkan lebih satu juta euro (AS$1.1 juta) berkaitan perkhidmatan yang disediakan kepada kapal tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menurut agensi kerjasama kehakiman Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu.

Siasatan itu tertumpu kepada dakwaan penipuan invois oleh sebuah syarikat bersama subkontraktornya yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kapal tentera NATO yang singgah di pelabuhan di barat laut Eropah, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Agensi Kesatuan Eropah bagi Kerjasama Keadilan Jenayah (Eurojust), pihaknya mula membantu siasatan berkenaan pada April 2025 selepas NSPA mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam invois yang dikemukakan.

Kes itu turut membabitkan dakwaan bahawa syarikat berkenaan memberikan rasuah kepada pegawai awam melalui orang tengah sebagai balasan untuk mendapatkan layanan istimewa dalam urusan kontraknya dengan NSPA.

Anggaran kerugian yang ditanggung negara anggota NATO melebihi satu juta euro, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan.

Pada Julai 2025, Eurojust membantu penubuhan pasukan siasatan bersama bagi membolehkan pihak berkuasa dari pelbagai negara bekerjasama di bawah rangka kerja perundangan yang sama serta bertukar maklumat dan bukti secara langsung.

Eurojust turut menganjurkan mesyuarat penyelarasan sebagai persediaan bagi operasi bersepadu itu, manakala NSPA menyediakan maklumat dan sokongan kepada pasukan penyiasat.

Dalam operasi yang diselaraskan itu, lima individu ditahan di Norway, selain pemeriksaan dijalankan di beberapa premis kediaman dan perniagaan.

Di Romania, pihak berkuasa menggeledah premis sebuah syarikat dan beberapa kediaman, manakala di Jerman, pemeriksaan dilakukan di dua premis perniagaan dan sebuah kediaman berdasarkan Perintah Siasatan Eropah.

Artikel Berkaitan:

Eurojust memaklumkan bahawa pihaknya belum dapat mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan. - Bernama-Anadolu

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!