Berang hubungan berakhir, lelaki tolak kekasih dari puncak air terjun

Wanita tersebut meninggal dunia selepas ditolak kekasihnya. Foto Agensi
Wanita tersebut meninggal dunia selepas ditolak kekasihnya. Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI – Seorang lelaki di Kolhapur, Maharashtra, India ditahan selepas mengaku menolak kekasihnya ke dalam gaung dari puncak air terjun selepas wanita itu memberitahu bahawa hubungan mereka tidak dapat diteruskan, menurut polis pada Isnin.

Kejadian berlaku di Air Terjun Naikwadi, kawasan Bhudargad, apabila suspek, Shripad Dinkar Vadar, 25, membawa teman wanitanya, Tarannum Bashir Naik, 23, ke lokasi itu pada Jumaat atas alasan mahu bersiar-siar.

Ketika berada di puncak air terjun, Tarannum yang merupakan pelajar kejuruteraan memberitahu Shripad bahawa mereka tidak boleh meneruskan hubungan kerana keluarganya telah mengatur perkahwinannya dengan lelaki lain pada bulan berikutnya.

Perkara itu mencetuskan pertengkaran sebelum Shripad, dalam keadaan marah, didakwa menolak Tarannum ke dalam gaung.

Suspek kemudian cuba menyembunyikan perbuatannya dengan mendakwa mangsa terjatuh secara tidak sengaja ketika mereka mengambil swafoto.

Pada Sabtu, Shripad pergi ke balai polis Bhudargad dan memberitahu bahawa Tarannum tergelincir lalu terjatuh ke dalam gaung ketika mereka mengambil gambar bersama.

Bagaimanapun, polis mengesyaki terdapat percanggahan dalam keterangannya lalu menjalankan soal siasat lanjut. Suspek akhirnya mengaku menolak mangsa sebelum ditahan.

Mayat Tarannum kemudian ditemukan di dalam gaung yang berkedalaman kira-kira 305 meter. Mayatnya dibawa ke Hospital CPR di Kolhapur untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Menurut pihak berkuasa, Shripad dan Tarannum menetap di Shivajinagar, Gargoti, dan telah menjalin hubungan selama kira-kira lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Tarannum dilaporkan hilang sejak pagi 9 Oktober selepas dibawa oleh Shripad ke air terjun berkenaan.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan penduduk kampung, manakala keluarga mangsa mendakwa suspek mempunyai hubungan rapat dengan seorang pemimpin politik.

Seorang ahli keluarga mangsa menggesa supaya siasatan dijalankan secara adil tanpa campur tangan politik.

“Kami mahu siasatan yang tidak berat sebelah dan bebas daripada tekanan politik. Kami berharap keselamatan wanita di kawasan luar bandar turut diberi perhatian,” katanya.

Keluarga mangsa turut menuntut supaya kes itu dibicarakan di mahkamah yang mengendalikan kes secara pantas.

Kejadian itu berlaku beberapa bulan selepas satu kes pembunuhan serupa dilaporkan di Pune, juga di Maharashtra, apabila seorang wanita bernama Siya Goyal didakwa menolak tunangnya dari sebuah kubu bersama kekasihnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!