Pendaki wanita tidak sedarkan diri di Air Terjun Langsir

DUNGUN - Seorang wanita berusia 48 tahun tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian di Air Terjun Langsir, Chemerong di sini pada Sabtu bersama dengan 31 individu lain dan lima malim gunung.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan, Ishak Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.22 pagi sebelum menghubungi malim gunung yang berada bersama Lim Kah Wah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi dan keadaannya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, Kah Wah yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang berada kira-kira sembilan kilometer dari kaki gunung dan perjalanan ke lokasi dianggarkan mengambil masa hingga 15 jam.
"Pada jam 1 tengah hari, bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dimohon bagi memindahkan mangsa manakala permohonan pengaktifan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) negeri dibuat pada jam 1.30 tengah hari," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ishak berkata, helikopter AW139 bersama dengan lima anggota berlepas ke lokasi pada jam 2.26 petang bagi melaksanakan misi pemindahan mangsa.
"Mangsa dan suaminya telah dibawa keluar dari lokasi berkenaan pada jam 5.50 petang serta dibawa ke Sekolah Menengah Sains Dungun dekat sini," katanya.
Beliau berkata, pasangan itu tiba di sekolah berkenaan pada jam 6 petang sebelum dibawa ke Hospital Dungun bagi membolehkan wanita berkenaan mendapatkan rawatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
