Justin buru gelaran di laman sendiri

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, memulakan kempen Kejuaraan Allianz Malaysia Super 100 dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil Korea Selatan, Kim Hae-deun, 21-15, 21-16 di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri.
Pemain ranking ke-39 dunia itu berpuas hati dengan persembahan dalam aksi pembukaan berkenaan, namun mahu meningkatkan prestasi pada perlawanan seterusnya dalam usaha memburu gelaran di laman sendiri.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan berharap dapat beraksi lebih baik selepas ini.
“Kejohanan ini amat penting bagi saya kerana berlangsung di laman sendiri. Saya berharap dapat memenangi gelaran untuk Malaysia,” katanya.
Mengenai pendekatan taktikalnya, Justin berkata beliau meneliti corak permainan lawan sebelum memilih strategi serangan balas sebagai persediaan menghadapi perlawanan itu.
Dalam acara perseorangan lelaki, beberapa lagi wakil negara gagal mengikut jejak langkah Justin apabila tersingkir pada pusingan masing-masing.
Cheam June Wei tewas 21-23, 11-21 kepada pemain China, Dong Tian Yao, manakala Eogene Ewe turut terkandas selepas kalah 13-21, 17-21 kepada wakil India, Tushar Suveer.
Bagaimanapun, Aidil Sholeh Ali Sadikin memastikan cabaran negara dalam acara itu berterusan apabila menewaskan rakan senegara, Razeeq Danial Roslie, 21-11, 21-13.
Dalam acara perseorangan wanita, Eng Ler Qi gagal meneruskan momentum apabila diatasi wakil India, Malvika Bansod, selepas tewas 7-21, 14-21.
Goh Jin Wei turut tersingkir apabila tewas 17-21, 16-21 kepada pemain Indonesia, Thalita Ramadhani Wiryawan, manakala Lim Zhi Shin pula tewas 13-21, 19-21 kepada wakil China, Xu Wen Jing.
Seorang lagi pemain negara, S Kisona, terpaksa menarik diri ketika menentang pemain Taiwan, Wang Pei Yu.
Cabaran negara turut berakhir dalam acara beregu campuran apabila pasangan Tan Zhi Yang-Teoh Mei Xing tewas kepada gandingan Korea Selatan, Jin Sung-ik-Lee Seung-hee, 21-12, 17-21, 15-21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
