1MDB: Najib gagal tangguh hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.4 bilion

Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin selepas menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu kerana mendapati beliau gagal memenuhi syarat keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan penangguhan diberikan.

“Pemohon tidak lagi boleh dianggap sebagai pesalah kali pertama selepas sabitannya dalam kes SRC dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya,” katanya.

Bekas Presiden UMNO itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan jumlah sama antara 2011 hingga 2014.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Najib dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Disember 2025, atas semua kes terbabit.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan Najib membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan, Najib boleh dipenjara selama 10 tahun bagi setiap kes rasuah terbabit.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan, manakala hukuman penjara lima tahun dikenakan bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International di Penjara Kajang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!