Pergaduhan libat 5 lelaki bersenjata di Taman Medan Jaya bukan isu perkauman - Polis

SHAH ALAM - Pergaduhan melibatkan beberapa individu di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya pada 9 Oktober lalu berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) di kawasan perumahan berkenaan dan bukannya isu perkauman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kejadian itu tercetus selepas pihak JMB memutuskan bekalan elektrik dari kediaman kepada premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan suspek secara tidak sah.
"Suspek kemudian berjumpa pihak JMB bagi meminta bekalan elektrik berkenaan disambungkan semula, namun permintaan itu tidak dibenarkan kerana tindakan tersebut menyalahi peraturan.
"Ekoran itu, suspek telah memanggil beberapa rakannya untuk melakukan konfrontasi dengan pihak JMB dan penduduk di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian serangan menggunakan senjata berbahaya di sebuah kawasan perumahan di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.03 pagi daripada seorang lelaki tempatan yang mendakwa diserang beberapa individu.
Beliau berkata, polis turut mengesan video berkaitan kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa.
Sementara itu, Shazeli berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat, namun mereka hanya direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, polis kini melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.
"Kita menjangkakan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat berserta syor daripada pihak polis untuk mendapatkan nasihat serta arahan selanjutnya daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Jadi, tidak timbul isu perkauman dalam kejadian ini, sebaliknya, ia berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap beberapa perkara yang telah saya nyatakan," katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, tindakan pihak JMB yang tidak membenarkan aktiviti menyalahi undang-undang dijalankan adalah wajar.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kejadian seumpama itu bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan keadaan daripada berlarutan atau menjadi lebih serius.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan kepada polis sebarang maklumat atau khabar angin berkaitan kejadian berkenaan.
Katanya, tindakan itu penting bagi membolehkan sebarang isu sedemikian dicegah dan dibendung daripada mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

