[VIDEO] Takiyuddin, Ram Karpal antara dilantik anggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Rabu bersetuju melantik empat ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pelantikan itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu.

Menurut beliau, mereka yang dilantik ialah Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Ram Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran).
“Jawatankuasa Pemilih mengikut peraturan Mesyuarat 76 dengan ini menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan baginya oleh Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi menamakan ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.
“Oleh itu, bahawa mengikut Seksyen 3 (2) (f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, empat ahli Dewan Rakyat yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilih seperti di perenggan atas hendaklah diterima dan dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini dilapor berkata, cadangan keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pada 13 Oktober.
Menurut beliau, usaha itu menandakan langkah seterusnya dalam menubuhkan badan yang bertanggungjawab menyelia Perkhidmatan Parlimen yang dikembalikan semula.
Jelas beliau, majlis itu merupakan satu daripada dua entiti utama yang akan ditubuhkan di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, selain Perkhidmatan Parlimen itu sendiri.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Okt, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen, 34 tahun selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

