UMK lancar Tabung Ihya Ramadan

Profesor Dr Noor Azizi (tiga dari kiri) ketika melancarkan Tabung Ihya Ramadan Pusat Islam UMK semalam.
Profesor Dr Noor Azizi (tiga dari kiri) ketika melancarkan Tabung Ihya Ramadan Pusat Islam UMK semalam.
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Pusat Islam UMK menyasarkan kutipan Tabung Ihya Ramadan berjumlah RM100,000 bagi menampung kos pelbagai aktiviti dirancang pada Ramadan tahun ini.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, kutipan itu bagi menampung kos menjalankan pelbagai aktiviti terutama persiapan berbuka puasa, sahur kepada penuntut di universiti ini yang masih berada di kolej kediaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kutipan Tabung Ihya Ramadan dilancarkan saban tahun setiap kali tiba Ramadan.

“Tabung ini juga dihebahkan kepada seluruh warga UMK dan masyarakat luar bagi sama-sama menyumbang sempena bulan Ramadan,” katanya pada Ceramah Khas Kedatangan Ramadan 1441H dan Pelancaran Tabung Ihya Ramadan serta Bantuan Zakat UMK COVID 19@Ramadan di Pejabat Pusat Islam UMK Bachok semalam.

Dr Noor Azizi Ismail
Dr Noor Azizi Ismail

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dan Pengarah Pusat Islam UMK, Profesor Madya Dr Azhar Muhammad.

Beliau berkata, penderma boleh menyampaikan sumbangan Tabung Ihya Ramadan menerusi dalam talian atau akaun Bank Muamalat UMK 03010006484710.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Azizi turut menyempurnakan penyerahan bantuan zakat UMK Covid-19@Ramadan kepada pelajar UMK yang menerima Bantuan Sokongan Pengajian dan 20 staf pekerja kontrak yang menerima Bantuan Pekerja Pembersihan.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, dengan usaha murni pelancaran Tabung Ihya Ramadan dan penerima sumbangan zakat dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

“Tabung ini dibuka sehingga penghujung bulan Ramadan bagi menggalakkan warga UMK dan masyarakat luar untuk sama-sama menyumbang dan merebut pahala di bulan yang penuh barakah ini,” katanya.