Jangan terima tawaran bawa barang ke luar negara, elak dijerat sindiket - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily.
Mohd Shuhaily.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengembara Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam menerima apa juga tawaran membawa barangan milik individu lain ketika ke luar negara bagi mengelakkan diri daripada terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan dadah.

Nasihat ini diberikan oleh Ketua Pengarah, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika diminta mengulas mengenai penahanan lima rakyat Malaysia, di Tokyo, Jepun, selepas cuba menyeludup dadah kokain seberat lima kilogram (kg).

"Langkah berwaspada dan berhati-hati amat penting ketika menerima tawaran untuk membawa barang atau kiriman pada saat-saat akhir ketika hendak ke luar negara.

"Saya nak ambil peluang untuk menyatakan perkara ini kepada semua pengembara Malaysia untuk tidak sewenang-wenangnya menerima apa juga tawaran membawa barangan milik orang lain," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, pengembara Malaysia juga perlu berwaspada dengan sebarang tawaran pelancongan yang dibiayai atau ditaja oleh mana-mana pihak yang melalui apa juga platform media sosial.

"Pada saat-saat akhir mereka meminta kita untuk membawa, memakai atau menggunakan barang yang kita tidak ketahui apa kandungan dan isinya.

"Harus ada rasa curiga terhadap apa juga kandungan yang diberikan oleh orang tidak dikenali kerana pada akhirnya kita mungkin terjerat di negara luar selepas ditahan kerana melakukan penyeludupan bahan terlarang termasuk dadah," katanya.

Beliau berkata, tawaran mencurigakan, kebiasaannya datang pada saat-saat akhir ketika pengembara hendak berlepas ke luar negara.

"Apabila kita berhadapan situasi ini, tolong, laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya anda mencurigai sebarang kiriman atau barang yang dibawa.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pantas ini dapat mengelak diri kita daripada terjerat dan seterusnya berhadapan undang-undang di negara tujuan," katanya.

Mengulas mengenai penahanan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada Jumaat dan Sabtu lalu, Mohd Shuhaily percaya tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat dan perisikan oleh pihak berkuasa Jepun.

"Saya percaya, tindakan itu (tahan lima rakyat Malaysia) dibuat oleh pihak berkuasa di Jepun, selepas mereka mungkin menerima maklumat mengenai usaha menyeludup dadah kokain berkenaan daripada intelligence (perisikan) dan perkongsian maklumat," katanya.

Menurut laporan media Jepun NHK, lima rakyat Malaysia itu disyaki cuba menyeludup kokain yang disembunyikan di dalam kasut mereka.

Katanya, empat daripada lima suspek mengaku terhadap dakwaan berkenaan, manakala seorang lagi menafikannya.

Kesemua mereka cuba memasuki Jepun dari Malaysia dengan membawa kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 (kira-kira RM3.2 juta).

Pemeriksaan oleh pegawai kastam di lapangan terbang berkenaan menemukan bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut setiap suspek.

Seorang daripada suspek, Mohd Danial Farhan Abdul Rahman, dilaporkan memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mengenali seorang individu menerusi aplikasi media sosial yang kemudian memintanya membawa dadah ke luar negara.

Menurut laporan itu, individu berkenaan didakwa menawarkan bayaran lumayan sebagai ganjaran dan menyerahkan sepasang kasut kepadanya untuk digunakan dalam perjalanan tersebut.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!