Badminton: Malaysia ke final Kejohanan Remaja Dunia

Malaysia kembali beraksi di pentas final acara badminton berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia selepas menundukkan juara dua kali Indonesia 2-0 pada separuh akhir. Foto fail Bernama
Malaysia kembali beraksi di pentas final acara badminton berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia selepas menundukkan juara dua kali Indonesia 2-0 pada separuh akhir. Foto fail Bernama
A
A
A

MALAYSIA menamatkan penantian sembilan tahun untuk kembali beraksi di pentas final acara badminton berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia selepas menundukkan juara dua kali Indonesia 2-0 pada separuh akhir di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, malam tadi.

Berdepan dengan naib juara edisi lepas, skuad negara terpaksa bekerja keras mengekang tentangan sengit Indonesia sebelum memastikan kemenangan 55-49, 55-42 menerusi format relay 55 mata, sekali gus mara ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 2017.

Perseorangan lelaki, Tiew Wei Jie tewas 6-11 kepada Fardhan Rainanda, namun beregu wanita Genevie Lim-Low Zi Yu kembali mengimbangi kedudukan menerusi kemenangan 22-17 ke atas Atresia Naufa-Aurelia Syakira.

Indonesia kemudian kembali di depan menerusi Jolin Angelia yang menewaskan Carine Tee 33-32 dalam aksi sengit perseorangan wanita.

Beregu campuran, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Zi Yu meletakkan Malaysia kembali di hadapan selepas mencatat kemenangan 44-43 ke atas Moses Andar-Reya Azzahra, sebelum beregu lelaki negara, Damien Ling-Irfan Shazmir mengesahkan kemenangan selepas mengecewakan Faizal Pangetsu-Anju Siahaan 55-49 untuk memenangi perlawanan pertama.

Malaysia meneruskan momentum pada perlawanan kedua dengan Wei Jie bangkit menewaskan Fardhan 11-7, sebelum gandingan Genevie-Low Zi Yu melebarkan kelebihan kepada 22-11.

Indonesia kembali merapatkan jurang kepada 33-28 menerusi perseorangan wanita, namun Ahmad Redzuan-Zi Yu terus meningkatkan jurang dengan 44-37.

Ahmad Redzuan kemudian bergandingan dengan Isyraf Hafizin Ibrahim dalam beregu lelaki untuk melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi kejayaan 55-42 ke atas Faizal-Anju, sekali gus memuktamadkan kemenangan kem Malaysia.

Kali terakhir Malaysia mara ke final acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia adalah pada edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Malaysia berdepan China pada aksi final hari ini. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!