OSK perbaharui hala tuju jenama tiga bahagian perniagaan

Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif OSK Construction, Soh Choon Guan; Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing; Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Investment, Datuk Hoe Mee Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Development, Chu Wai Lune pada pelancaran hala tuju jenama OSK yang diperbaharui, berteraskan matlamat bersama “Making Ordinary Extraordinary”.
Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif OSK Construction, Soh Choon Guan; Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing; Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Investment, Datuk Hoe Mee Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Development, Chu Wai Lune pada pelancaran hala tuju jenama OSK yang diperbaharui, berteraskan matlamat bersama “Making Ordinary Extraordinary”.
A
A
A

KUMPULAN OSK melakar lembaran baharu menerusi pelancaran hala tuju jenama yang diperbaharui bagi tiga bahagian perniagaan utamanya.

Tiga bahagian perniagaan itu ialah OSK Construction, OSK Property Investment dan OSK Property Development yang secara kolektif dikenali sebagai CID.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing berkata, pembaharuan itu bukan sekadar perubahan visual, sebaliknya mencerminkan tujuan bersama dan hala tuju kumpulan berkenaan.

Menurutnya, pembaharuan itu mengekalkan logo korporat sedia ada, selain memperkenalkan tujuan jenama yang diperbaharui, warna baharu dikenali sebagai OSKoral serta kerjasama lebih erat antara ketiga-tiga bahagian perniagaan berkenaan.

“Pembaharuan jenama ini mencerminkan kedudukan kami hari ini dan, yang lebih penting, hala tuju yang ingin kami capai selepas ini.

“Making Ordinary Extraordinary memberikan kami tujuan bersama dan mengingatkan bahawa insan biasa seperti kami mampu menghasilkan pencapaian luar biasa apabila mempunyai matlamat bersama untuk menambah baik pengalaman harian yang penting dalam kehidupan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, OSK optimis melangkah ke fasa seterusnya dengan menggabungkan kekuatan perniagaan pembinaan, pelaburan dan pembangunan, selain pembuatan kabel, pembuatan panel dinding Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta hospitaliti.

Katanya, gabungan kekuatan itu diyakini dapat mewujudkan nilai lebih besar kepada pelanggan, rakan niaga dan komuniti yang menerima manfaat daripada perkhidmatan kumpulan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, OSK merancang pelancaran projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.34 bilion pada 2027, merentasi pelbagai segmen pasaran dan lokasi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, OSK Property Development turut merancang memasuki segmen kediaman mewah menerusi siri Signature di Subang, bagi melengkapi rangkaian pembangunan kediaman sedia ada.

"Langkah ini menyusuli kejayaan projek pertama siri berkenaan di Kuantan, OSK Ombak, yang menyaksikan fasa pertamanya ditempah sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

"Sementara itu, OSK Property Investment akan memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan asetnya menjadi destinasi yang lebih menarik dan dinamik bagi meningkatkan kualiti kehidupan komuniti setempat.

"Usaha ini termasuk memperkukuh penawaran gaya hidup di Atria Shopping Gallery, Faber Towers dan YOUCity Retail menerusi pilihan runcit, makanan dan minuman, kesejahteraan, riadah serta pengalaman berasaskan komuniti," katanya.

Bahagian perniagaan itu juga akan terus mengenal pasti peluang di lokasi asetnya bagi mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja memenuhi fungsi asal, malah menjadi tempat komuniti berhubung, meluangkan masa bersama dan menikmati pengalaman harian yang bermakna.

OSK Construction pula akan melaksanakan strategi pertumbuhan lebih aktif dengan meningkatkan penyertaan dalam tender projek pembinaan pihak luar, selain terus menyokong projek OSK Property Development dan mengekalkan kerjasama erat antara kedua-dua bahagian perniagaan itu.

Pendekatan itu membolehkan OSK Construction memanfaatkan kepakaran, keupayaan dan rekod prestasinya dalam peluang yang lebih luas, di samping memperkukuh kedudukannya dalam industri pembinaan.

Menerusi CID dan model berteraskan ekosistem, OSK berhasrat memanfaatkan kekuatan kolektif perniagaannya dalam pembangunan dan pelaburan hartanah, pembinaan, pembuatan kabel, pembuatan panel dinding IBS serta hospitaliti.

Pembaharuan identiti jenama itu, termasuk OSKoral dan tujuan jenama baharu, akan diperkenalkan secara berperingkat menerusi komunikasi korporat, projek pembangunan, aset serta saluran digital OSK.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!