Belanjawan 2027: Hajiji sifatkan Belanjawan 2027 ringankan beban kewangan rakyat

Hajiji menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hajiji menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai sebuah belanjawan komprehensif yang meringankan bebanan kewangan rakyat di negara ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, malah belanjawan tersebut juga turut mencerminkan kekukuhan ekonomi negara.

"Saya melihat belanjawan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat. 

"Ia juga membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kita, walaupun berdepan dengan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat," katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027 di Menara Kinabalu, pada Jumaat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan belanjawan itu berkata, Sabah kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan terbesar dengan jumlah RM18.6 bilion bagi tahun hadapan.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 6.25 peratus berbanding RM17.6 bilion yang diperuntukkan pada tahun ini. 

Selain itu, Anwar berkata, projek jalan raya di Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion menerusi Belanjawan 2027. 

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menggandakan jumlah tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak. 

"Ini bermakna seramai 4,200 pelajar dari Sabah dan Sarawak akan berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun," katanya. 

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju melaksanakan pemasangan sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos sebanyak RM204 juta. 

"Sementara itu, projek Talian Penghantaran Southern Link akan diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di Sabah," katanya. 

Turut menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, pembantu-pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan negeri.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!