Lagi warga asing ditembak ejen Imigresen AS

NEW YORK - Ejen Imigresen Amerika Syarikat (AS) menembak dan mencederakan seorang lelaki ketika berada di dalam keretanya bersama seorang kanak-kanak di kawasan Marble Hill, New York pada Khamis.
“Laporan awal menunjukkan ejen mengepung kereta dinaiki individu itu sebelum melepaskan beberapa das tembakan,” kata Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani.
Difahamkan, mereka kemudiannya memberi bantuan segera dan lelaki itu kini sedang dirawat di sebuah hospital tempatan.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, agensi induk Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pegawai ICE sedang menjalankan 'operasi penguatkuasaan bersasar' di sekitar Bronx, New York bagi menahan seorang lelaki warga Republik Dominika yang mempunyai rekod sabitan jenayah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD), Jessica Tisch berkata, lelaki berusia 28 tahun itu pernah ditahan sebanyak dua kali di New York pada 2023 dan 2025.
Sejak Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih, ejen imigresen persekutuan dilaporkan telah menembak sekurang-kurangnya 21 orang dengan tujuh daripadanya maut hingga mencetuskan gelombang bantahan di seluruh negara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

