'Tiada sesen pun hilang malah dapat untung RM1.85 juta' - Nazir nafi Yayasan Bank Rakyat rugi RM10 juta

Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika sidang media pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika sidang media pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin menafikan berlaku penyelewengan dana berjumlah RM10 juta membabitkan YBR, sebaliknya mendakwa pelaburan berkenaan telah memberikan pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta.

Nazir Hussin berkata, modal pelaburan RM10 juta yang dibuat YBR sejak 2020 itu juga telah diperoleh semula sepenuhnya sebelum pelaburan berkenaan ditamatkan pada November 2022.

“YBR tidak kehilangan satu sen pun dan tiada kecurian wang berlaku. YBR telah membuat pelaburan sebanyak RM10 juta dan ia dibuat berdasarkan prinsip 'good governance, due diligence' serta tatakelola yang sewajarnya.

"Pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta itu dikreditkan terus ke akaun YBR setiap tiga bulan sepanjang tempoh pelaburan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Nazir Hussin turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan kedudukan dengan membuat pelaburan menggunakan syarikat milik abangnya.

"Syarikat berkenaan bukan milik abang saya (Datuk Wira Mubarak Hussain), sebaliknya beliau hanya menjadi salah seorang pelabur dalam syarikat terbabit selepas YBR membuat pelaburan.

"Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan pelaburan YBR itu sebagai pelaburan dalam syarikat milik abang saya,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an yang juga ahli perniagaan itu direman lima hari, selepas ditahan pada 30 September lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Sumber berkata SPRM turut menyita 15 kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta, 12 motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000 selain turut membekukan dua akaun peribadi bernilai kira-kira RM2 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tindakan SPRM, Nazir berkata, kediamannya telah digeledah pada 30 September lalu, manakala beberapa kenderaan termasuk kereta dan motosikal turut disita.

Beliau mendakwa pegawai SPRM hadir ke kediamannya kira-kira jam 6.30 pagi dan berada di situ sehingga 6.30 petang.

“Kertas siasatan berkaitan isu berkenaan pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu dan siasatan ketika itu tidak mengenal pasti sebarang salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut pada 2022," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan SPRM memuat naik kandungan berlatarbelakangkan lagu bertemakan ‘penyamun’ ketika siasatan masih berjalan dan belum terdapat sebarang pertuduhan terhadapnya.

“Pada pandangan saya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa,” katanya.

Mengenai tempoh reman tujuh hari, Nazir mendakwa hanya satu hari digunakan untuk menyoalnya berhubung isu YBR, manakala soalan pada hari berikutnya didakwa berkaitan perkara politik yang menurutnya tidak mempunyai kaitan dengan alasan utama penahanan.

Beliau turut mendakwa penyitaan kereta dan motosikalnya tidak mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta dana YBR.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan kepada saya sama ada pihak SPRM sedang cuba mencari alasan atau asas lain untuk membolehkan saya didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau turut merayu kepada Peguam Negara supaya melihat perkara itu secara adil dan menyeluruh agar dirinya tidak dijadikan kambing hitam atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak.

“Saya percaya masyarakat berhak mengetahui fakta sebenar dan saya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!