Dua remaja maut tercampak dalam parit

PASIR SALAK - Dua remaja maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini pada Khamis.
Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah jam 4.29 pagi melibatkan mangsa dikenali Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan Adam Danial, 18.
Kedua-dua mangsa dipercayai rakan yang menaiki motosikal Yamaha Y15 disyaki tercampak ke dalam parit akibat nahas berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian turut mengakibatkan pemandu kereta jenis Toyota Yaris berusia 31 tahun cedera parah.
Menurutnya, anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati sebuah kereta berada dalam parit dengan seorang mangsa dalam kenderaan berkenaan.
"Dua lagi mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal turut ditemui berada di dalam parit.
"Kedua-dua mangsa itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sabarodzi berkata, ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota mengeluarkan ketiga-tiga mangsa menggunakan pengusung.
Katanya, dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Mangsa yang cedera parah kemudian dihantar ke Hospital Seri Iskandar menggunakan ambulans KKM," katanya.
Operasi yang membabitkan lima anggota BBP Kampung Gajah itu tamat sepenuhnya pada jam 6.54 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

