BN kekal bertanding 21 kerusi, sedia ‘cross-swap’ rakan parti - Ab Rauf

Ab Rauf pada sidang akhbar di Seri Negeri pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Ab Rauf pada sidang akhbar di Seri Negeri pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
A
A
A

MELAKA - Barisan Nasional (BN) kekal pendirian bertanding 21 daripada 28 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun terbuka untuk rundingan pertukaran kerusi secara ‘cross-swap’ dengan rakan parti.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, rundingan berhubung perkara itu sedang dijalankan bagi memastikan BN kekal mempertahankan kesemua 21 kerusi dimenangi pada PRN lalu.

"Itu sudah terang lagi bersuluh. Itu adalah satu garis sempadan yang telah saya suarakan.

"Maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi dan ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil ‘cross-swap’ tapi tetap 21," katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai kemungkinan jumlah parti yang akan bekerjasama dengan BN pada PRN kali ini, Ab Rauf berkata, pihaknya masih terbuka kepada mana-mana parti yang berminat untuk menjalinkan kerjasama.

Katanya, rundingan akan dilakukan secara berperingkat bagi melihat bentuk sumbangan dan kerjasama yang boleh diberikan setiap pihak.

"Setakat hari ini, kita masih lagi terbuka kepada mereka yang nak menjalankan kerjasama untuk mendapatkan satu pasukan yang lebih kuat dan mantap.

"Memang kita lihat di media sosial ramai yang menyuarakan untuk bergabung dengan kita dan kita akan aturkan rundingan ini berperingkat-peringkat.

"Insya-ALLAH kita akan umumkan sebelum hari penamaan calon siapakah rakan strategik kita yang terbaik untuk kita menjalankan urusan pilihan raya ini nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!