Wabak misteri gusarkan Siberia, hampir 200 dikuarantin

Wabak itu juga boleh membawa maut jika rawatan ditangguhkan. - Foto Agensi
Wabak itu juga boleh membawa maut jika rawatan ditangguhkan. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Kebimbangan kesihatan awam melanda wilayah Irkutsk di Siberia, Rusia selepas seorang pekerja makmal berusia 28 tahun meninggal dunia.

Laporan mendakwa mangsa mungkin terdedah kepada patogen berbahaya ketika bekerja di makmal Institut Penyelidikan Antiwabak di Shelekhov.

Daria Shipilova, 28, yang bertugas sebagai juruteknik dikatakan secara tidak sengaja memecahkan sebuah tabung uji yang mengandungi bahan biologi hidup.

Keadaan Daria Shipilova dilaporkan merosot dengan cepat sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan sebelum meninggal dunia pada Khamis lalu. - Foto Agensi
Keadaan Daria Shipilova dilaporkan merosot dengan cepat sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan sebelum meninggal dunia pada Khamis lalu. - Foto Agensi

Dalam tempoh singkat, wanita itu mengalami radang paru-paru yang teruk dengan punca sebenar yang tidak diketahui dan dimasukkan ke hospital.

Kesihatannya merosot dengan cepat sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan sebelum meninggal dunia pada Khamis lalu.

Walaupun beberapa laporan mengaitkan kes itu dengan wabak pneumonik namun pihak berkuasa Moscow belum mengesahkan punca jangkitan itu.

Susulan insiden kebocoran di makmal itu, hampir 200 orang yang dipercayai mempunyai hubungan secara terus atau tidak langsung dengan mangsa kini dikuarantin.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dilaporkan tidak menunjukkan gejala dan keputusan ujian makmal disahkan negatif. Lebih 100 daripada mereka juga sedang dipantau di hospital.

Pihak berkuasa turut memperkenalkan langkah kuarantin di Hospital Daerah Shelekhov manakala sebuah kemudahan bersalin berdekatan dikenakan sekatan sebagai usaha pencegahan.

Ia dikhuatiri mencetuskan penyebaran wabak yang mengancam kesihatan awam sebagaimana yang pernah berlaku susulan penularan virus di Wuhan, China sehingga mencetuskan pandemik Covid-19 pada akhir 2019. - Foto Agensi
Ia dikhuatiri mencetuskan penyebaran wabak yang mengancam kesihatan awam sebagaimana yang pernah berlaku susulan penularan virus di Wuhan, China sehingga mencetuskan pandemik Covid-19 pada akhir 2019. - Foto Agensi

Agensi pengawasan kesihatan awam Rusia, Rospotrebnadzor memaklumkan langkah sanitasi dan pencegahan wabak kecemasan juga telah diaktifkan. Agensi itu menyatakan keadaan epidemiologi di wilayah Irkutsk masih stabil.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan risiko kesihatan kepada orang awam masih rendah berdasarkan maklumat yang ada dan penilaian risiko akan dibuat selepas maklumat baharu diperoleh.

Pakar berpendapat kes tersebut wajar diberikan perhatian serius kerana ia dikhuatiri mencetuskan penyebaran wabak yang mengancam kesihatan awam sebagaimana yang pernah berlaku susulan penularan virus di Wuhan, China sehingga mencetuskan pandemik Covid-19 pada akhir 2019.

Beberapa laporan media mengaitkan kemungkinan jangkitan Yersinia pestis iaitu bakteria yang menyebabkan wabak. Namun begitu, patogen sebenar masih belum disahkan secara rasmi.

Boleh bawa maut

Berbeza dengan wabak bubonik yang lebih lazim diketahui, wabak pneumonik melibatkan jangkitan pada paru-paru dan sistem pernafasan.

Lebih menggusarkan, penyakit itu boleh merebak daripada individu yang dijangkiti kepada orang lain melalui titisan pernafasan, sekali gus berpotensi mempercepat penularan wabak dalam komuniti.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), antara gejalanya demam secara tiba-tiba, sakit kepala, lemah badan, kesukaran bernafas, sakit dada, batuk dan kahak berair atau bercampur darah.

Wabak itu juga boleh membawa maut jika rawatan ditangguhkan. Tetapi, ia boleh dirawat dengan antibiotik yang bersesuaian sekiranya diagnosis dan rawatan diberikan dengan segera.

Beberapa negara Asia Tengah termasuk Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan dan Tajikistan telah memperketat kawalan kesihatan di pintu sempadan susulan kebimbangan terhadap penularan wabak itu. - Foto Agensi
Beberapa negara Asia Tengah termasuk Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan dan Tajikistan telah memperketat kawalan kesihatan di pintu sempadan susulan kebimbangan terhadap penularan wabak itu. - Foto Agensi

Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev menggesa orang ramai supaya kekal bertenang ketika pihak berkuasa meneruskan usaha menangani situasi tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa suruhanjaya kecemasan antiepidemik telah mengadakan mesyuarat khas dan tindakan sewajarnya sedang diambil.

Bagaimanapun Kobzev tidak mengesahkan secara terbuka bahawa jangkitan tersebut merupakan wabak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!