Pengarah syarikat tidak mengaku salah cuba langgar orang awam

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar seorang lelaki menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Tertuduh, Chai Min Quan, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Noorulamin Soriani dengan niat menyebabkan kematian mangsa di Jalan Bayu 7, Bandar Seri Alam, di sini pada jam 8 pagi, 30 September lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh diwakili peguam, Yap Chi Kei.
Nur Fatihah kemudian menawarkan jaminan RM20,000, namun Chi Kei memohon jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya tidak berisiko tinggi untuk melarikan diri ke luar negara.
N Kanageswari kemudian membenarkan jaminan berjumlah RM10,000 berserta tiga syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi serta mangsa.
Mahkamah menetapkan 18 November untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
