RM2.55 juta elaun, kemudahan KWDA dan KWPPL dibayar tanpa punca kuasa sah - LKAN

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM2.55 juta daripada Kumpulan Wang Dius Api (KWDA) dan Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) dibelanjakan bagi pembayaran elaun serta kemudahan pada 2025 tanpa punca kuasa yang sah, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.
Daripada jumlah itu, RM2.31 juta melibatkan dana KWDA, manakala RM239,784 daripada KWPPL.
Menurut laporan berkenaan, semakan Audit terhadap perbelanjaan KWDA bagi 2025 mendapati RM2.31 juta dibayar sebagai elaun dan kemudahan kepada Lembaga KWDA serta pegawai Jabatan Laut Malaysia (JLM) tanpa punca kuasa yang sah.
Bayaran itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan perbelanjaan KWDA dan KWPPL yang masing-masing berjumlah RM131.98 juta dan RM6.77 juta sepanjang 2025.
Setakat 31 Disember 2025, KWDA mempunyai baki RM273.12 juta dengan terimaan sepanjang tahun berjumlah RM103.48 juta, manakala KWPPL mencatatkan baki RM24.72 juta dengan terimaan RM5.81 juta.
Laporan itu menyatakan pembayaran elaun serta kemudahan berjumlah RM2.55 juta berkenaan tidak diperuntukkan di bawah Akta Dius Api Persekutuan 1953 (Akta 250), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).
Dalam maklum balas bertarikh 2 Julai 2026, JLM menjelaskan Lembaga KWDA dan Jawatankuasa KWPPL merupakan dua entiti berbeza yang ditubuhkan di bawah peruntukan serta ketetapan berlainan, justeru kaedah pembayaran elaun dilaksanakan berdasarkan peraturan dan keputusan yang berkuat kuasa bagi setiap entiti.
JLM turut memaklumkan Lembaga KWDA telah meluluskan Peraturan Lembaga Dius Api 2016 yang menetapkan elaun tetap dan kemudahan kepada Pengerusi serta Ahli Lembaga dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab seperti ditetapkan di bawah Akta 250.
Menurut JLM, Wakil Pengurusan, Setiausaha, Ketua Pemungut, Urus Setia Mesyuarat dan Pegawai Operasi juga wajar menerima elaun serta kemudahan mengikut kadar yang diluluskan.
Pegawai yang mempunyai kepentingan secara langsung pula tidak terlibat dalam proses pertimbangan, manakala keputusan dibuat secara kolektif, tambahnya.
Bagaimanapun, Audit merumuskan bahawa KWDA dan KWPPL merupakan wang awam yang penggunaannya tertakluk kepada undang-undang tubuh kumpulan wang berkenaan, Akta 61 serta peraturan kewangan yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Lembaga KWDA dan Jawatankuasa KWPPL didapati tidak mempunyai kuasa yang sah untuk meluluskan pembayaran elaun serta kemudahan berjumlah RM2.55 juta berkenaan.
LKAN turut menyatakan Akta 61 menetapkan bahawa bagi perkara yang tidak diperuntukkan secara khusus, kelulusan pembayaran tertakluk kepada bidang kuasa Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
