Tentera Yemen gempur Houthi

Houthi terus meluaskan penguasaan mereka di beberapa kawasan strategik di Sanaa. Foto Agensi
Houthi terus meluaskan penguasaan mereka di beberapa kawasan strategik di Sanaa. Foto Agensi
A
A
A

SANAA - Angkatan Tentera Yemen melancarkan operasi ketenteraan terhadap kawasan di bawah kawalan Houthi ketika kerajaan memulakan operasi bagi membebaskan wilayah yang masih berada di bawah kawalan kumpulan tersebut.

Jurucakapnya, Mejar Jeneral Majed Abdullah Al-Nuzail menerusi catatan di X pada Isnin mengesahkan kempen serangan itu sudah bermula bagi memulihkan sepenuhnya institusi negara dan menamatkan pengambilalihan kuasa oleh Houthi.

"Kami menggempur pelbagai paksi dan barisan hadapan mengikut pelan yang diluluskan. Kira-kira 1,122 sasaran infrastruktur milik Houthi di Saada, Al-Jawf dan Taiz telah dibedil.

"Berdasarkan laporan dari lapangan, operasi itu berjaya melumpuhkan 1,747 anggota kumpulan itu dan memusnahkan kira-kira 364 aset termasuk kenderaan pengangkutan bekalan," ujarnya.

Pada Ahad, Ketua Majlis Presiden, Rashad al-Alimi mengarahkan pasukan bersenjata melaksanakan misi sehingga Yemen bebas daripada cengkaman kumpulan disokong Teheran itu.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Houthi memutuskan laluan bekalan penting yang menghubungkan bandar Taiz yang dikepung dengan Aden, ibu kota sementara kerajaan.

Sementara itu, Mejar Jeneral, Turki Al-Maliki selaku jurucakap Gabungan Menyokong Kesahihan di Yemen menegaskan mereka akan terus memberikan sokongan operasi kepada pasukan di Sanaa sehingga ancaman yang ditimbulkan proksi Iran itu berjaya dihapuskan.

Kerajaan Yemen berdepan kesukaran untuk menguasai semula wilayah yang dikuasai Houthi walaupun menerima sokongan ketenteraan daripada Arab Saudi. Houthi mendakwa mereka sekali lagi menyasarkan infrastruktur minyak di ibu kota Riyadh pada akhir minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Houthi dilaporkan semakin mara di selatan Taiz selepas memasuki At Turbah, sebuah pusat penting yang dikuasai kerajaan susulan pengunduran pasukan kerajaan dari kawasan berkenaan. Sehingga kini, kumpulan itu telah meluaskan penguasaan di beberapa kawasan strategik sejak konflik kembali meningkat pada Julai lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!