Keganasan sekolah: Hentikan sebelum tragedi berulang

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KEGANASAN di sekolah sudah sampai tahap membimbangkan. Dua pelajar maut dalam tempoh lapan hari. Ini bukan lagi soal disiplin semata-mata. Ini soal keselamatan dan nyawa.

Pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui berlumuran darah di dalam dewan sekolah di Yong Peng, Johor.

Tragedi itu mengundang satu persoalan besar. Bagaimana keganasan boleh berlaku di kawasan sekolah?

Lapan hari sebelumnya, seorang pelajar Tingkatan Dua maut dipercayai akibat dibuli di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dua kematian dalam tempoh begitu singkat tidak boleh dipandang ringan.

Sekarang bukan masa mencari alasan. Masa untuk bertanya apa yang berlaku sebelum tragedi. Adakah tanda awal dikesan? Adakah aduan dibuat? Jika ada, siapa yang bertindak dan sejauh mana tindakan itu berkesan?

Sekolah mesti menjadi benteng pertama. Guru dan pengurusan perlu mengenal pelajar mereka. Perubahan sikap, emosi, hubungan sosial dan tingkah laku agresif tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa perhatian.

Saluran bantuan mesti benar-benar berfungsi. Pelajar yang dibuli, diugut atau berdepan konflik mesti tahu kepada siapa mereka boleh mengadu. Mereka juga mesti yakin aduan itu tidak akan memakan diri.

Keselamatan kawasan sekolah perlu diperketat. Dewan, tandas, belakang blok dan asrama tidak boleh menjadi ruang tanpa pengawasan. Jangan hanya bertindak selepas sesuatu berlaku. Cegah sebelum terlambat.

Artikel Berkaitan:

Ibu bapa pula tidak boleh menyerahkan segala-galanya kepada sekolah. Anak yang tiba-tiba agresif, murung, takut ke sekolah atau menjauh daripada keluarga mungkin sedang berdepan masalah. Perubahan itu perlu disiasat, bukan dibiarkan.

Rumah mesti menjadi tempat anak berani bercakap. Jika dibuli, diancam atau melihat keganasan, mereka perlu tahu bahawa bersuara bukan satu kesalahan. Diam bukan penyelesaian.

Masyarakat juga ada peranan. PIBG, PDRM, komuniti dan agensi berkaitan perlu bersama sekolah. Aduan mesti disiasat. Ancaman mesti diambil serius. Jangan tunggu darah tumpah baru semua pihak bergerak.

Saluran aduan rahsia perlu diperkukuh. Pelajar mesti boleh melapor tanpa takut identiti terbongkar. Jika mangsa takut untuk bersuara, pembuli mendapat ruang untuk terus berkuasa.

Rakan sebaya juga boleh menjadi mata dan telinga sekolah. Mereka sering tahu siapa yang dibuli, siapa yang diugut dan siapa yang berubah. Tetapi mereka perlu dilatih untuk melapor, bukan menjadi penghukum.

Pendidikan emosi mesti diperkukuh. Pelajar perlu belajar mengurus marah, menyelesaikan konflik dan memahami kesan keganasan. Hukuman sahaja tidak cukup jika punca agresif tidak disentuh.

Pendirian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek supaya siasatan dilakukan secara menyeluruh tanpa menyembunyikan fakta mesti diterjemahkan kepada tindakan.

Setiap kes mesti disiasat. Setiap aduan mesti diberi perhatian. Tiada ruang untuk menutup masalah demi menjaga nama institusi.

Dua kematian dalam lapan hari sudah cukup menjadi amaran. Jangan tunggu tragedi ketiga.

Sekolah mesti menjadi tempat pelajar berasa selamat, bukan tempat mereka belajar mengenal takut. Hentikan keganasan sebelum nyawa menjadi taruhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!