PRN Melaka: Jangan marah jika nama tidak dipilih - Rais Yasin

MELAKA - Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin memohon individu yang namanya dicadangkan sebagai sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya berlapang dada dan menerima keputusan sekiranya tidak terpilih untuk bertanding.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, senarai nama calon bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tangga Batu akan dimuktamadkan dan diserahkan kepada pimpinan negeri minggu ini.
Menurutnya, setiap DUN akan mengemukakan tiga nama calon untuk dipertimbangkan membabitkan Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput.
"Kalau misal kata tidak dapat, janganlah marah. Ini bukan keputusan daripada saya, akhirnya kita berserah kepada ALLAH SWT.
"Jadi saya harap mereka yang namanya dibawa bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan kerana penentuan calon akhirnya dibuat di peringkat pimpinan lebih tinggi," katanya pada Sabtu.
Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bersama warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dewan Serbaguna Akademi Latihan Rela Malaysia (Alarm) Sungai Udang di sini.
Beliau yang juga Penyandang kerusi DUN Paya Rumput berkata, pihak bahagian telah mengenal pasti beberapa nama yang dianggap sesuai berdasarkan penglibatan mereka bersama masyarakat di kawasan masing-masing.
Katanya, pemilihan calon akan mengambil kira kriteria 'winnable' seperti yang ditetapkan Presiden UMNO, termasuk calon yang dikenali dan sentiasa berada di lapangan.
Rais berkata, setakat ini tiada nama calon dari luar Bahagian Tangga Batu disenaraikan, sebaliknya semua nama yang dikenal pasti adalah daripada kalangan anggota bahagian berkenaan.
Tambahnya, Tangga Batu turut membawa nama calon daripada golongan muda untuk dipertimbangkan.
"Memang ada dalam kalangan orang muda. Kita tahu itu tanggungjawab saya. Saya juga ketika berusia muda diangkat oleh pemimpin iaitu Datuk Seri Rauf dan pusat.
“Jadi apabila tiba waktu saya diberi sedikit ruang untuk memilih daripada bawah, sudah tentu kita akan bawa," katanya.
Mengenai kemungkinan calon lama kembali bertanding, Rais berkata, pihaknya masih meneliti perkara berkenaan dan belum dapat mengesahkan sebarang nama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

