Gempa bumi: Penduduk Paginatan tidak rasa gegaran- Bomba

KOTA KINABALU -Tiada sebarang gegaran dirasai penduduk susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Paginatan, Ranau, pada pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pemantauan dibuat di sekitar kawasan susulan kejadian tersebut.
"Pemantauan dan temu bual beberapa penduduk setempat berhubung dakwaan berlaku gegaran gempa bumi telah dilakukan.
"Hasil pemeriksaan dan maklum balas yang diperoleh mendapati penduduk tidak merasai sebarang gegaran serta tiada kesan atau kerosakan dilaporkan di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, selepas memastikan tiada lagi unsur bahaya dan risiko lain di lokasi, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
Sebelum itu, kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 berlaku di kawasan Paginatan, Ranau pada jam 10.57 pagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, pusat gempa bumi berkenaan dikesan berkoordinat 5.9 darjah utara dan 116.7 darjah timur pada kedalaman 13 kilometer (km).
Menurut MetMalaysia, lokasi gempa bumi itu terletak kira-kira 14km Selatan dari Ranau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
