Pengguna elektrik hingga 800kWj layak terima pelarasan bil Oktober

Infografik peningkatan aras pelindungan sehingga 800kWj bagi pelanggan domestik oleh TNB
Infografik peningkatan aras pelindungan sehingga 800kWj bagi pelanggan domestik oleh TNB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelanggan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan elektrik antara 601 hingga 800 kilowatt-jam (kWj) pada September layak menerima pelarasan caj secara pro rata dalam bil Oktober 2026.

Menurut TNB, pelarasan tersebut dibuat susulan peningkatan aras perlindungan penggunaan elektrik daripada 600kWj kepada 800kWj sebulan yang diumumkan kerajaan pada 17 September lalu.

“Menerusi peningkatan aras perlindungan tersebut, pelanggan domestik yang menggunakan elektrik sebanyak 800kWj dan ke bawah sebulan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026 akan menikmati pengecualian sepenuhnya daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), caj peruncitan RM10 serta cukai perkhidmatan lapan peratus.

“Jumlah pelarasan itu akan dipaparkan dalam bil menerusi butiran ‘Pelarasan Bil (Sep 2026)’ dan ‘Pelarasan Cukai Perkhidmatan (8%) (Sep 2026)’,” menurut kenyataan TNB pada Jumaat.

TNB memaklumkan, bagi pelanggan yang layak, pelarasan bagi ketiga-tiga caj tersebut untuk penggunaan September akan dikreditkan secara pro rata ke dalam bil Oktober 2026.

Bagaimanapun, pelanggan yang menggunakan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah pada September tidak akan menerima sebarang pelarasan dalam bil Oktober kerana mereka telah menikmati pengecualian di bawah aras perlindungan terdahulu.

Sementara itu, pelanggan yang merekodkan penggunaan 801kWj dan ke atas hanya layak menerima pelarasan cukai perkhidmatan lapan peratus.

Dalam perkembangan sama, TNB menggalakkan pelanggan memantau penggunaan elektrik harian melalui aplikasi myTNB bagi membantu mengawal penggunaan tenaga dan perbelanjaan bulanan.

Menurut syarikat utiliti itu, pelanggan disaran mengekalkan penggunaan harian di bawah 25kWj serta menetapkan bajet penggunaan tenaga di bawah RM328 bagi premis yang dilengkapi meter pintar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penggunaan penyaman udara boleh dioptimumkan dengan menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan fungsi pemasa bagi menjimatkan tenaga.

TNB turut memaklumkan bahawa pelanggan boleh mempertimbangkan Skim Tarif Penggunaan Masa (TOU) dengan mengalihkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi ke waktu luar puncak untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah.

“Waktu luar puncak bagi skim tersebut ialah dari jam 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat, serta sepanjang hari pada Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!