Mahasiswa, IPT antara diberi perhatian utama dalam Belanjawan 2027 - Anwar

Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis. - FOTO: Bernama
Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis. - FOTO: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahasiswa dan institusi pengajian tinggi antara yang akan diberi perhatian utama dalam Belanjawan 2027 yang sedang dimuktamadkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 merangkumi pelbagai sektor dan kelompok masyarakat termasuk petani, nelayan, Orang Asli serta bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

"Insya-ALLAH, tentunya mahasiswa dan universiti juga tergolong dalam (belanjawan) itu. Mudah-mudahan saya dapat sampaikan apa yang mampu dalam keterbatasan yang ada," kata beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara di sini pada Khamis. 

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyediaan Belanjawan 2027 memerlukan penelitian dan perhatian terhadap permintaan daripada ribuan persatuan, ratusan jabatan serta puluhan kementerian.

"Semuanya adalah munasabah dan rasional. Daripada sawah-sawah (petani) di Kedah, nelayan di Terengganu, ada Orang Asli, rumah Iban di Sarawak, bidang teknologi, bidang AI, semuanya menuntut perhatian," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kesibukan beliau menyiapkan Belanjawan 2027 menyebabkan hampir semua acara yang dijadualkan minggu ini terpaksa dibatalkan kecuali acara tertentu termasuk Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

"Saya batalkan semua acara tetapi acara malam ini saya teruskan. Khusus mahasiswa ini, saya rasa saya mahu hadir," kata beliau.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan Belanjawan Madani Kelima dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi Madani dalam pengemudian negara Malaysia.

Selaku belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Belanjawan ini kekal menelusuri tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara. - Bernama 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!