Kawalan keselamatan awam: Singapura kerah robot AI pada 2028

SINGAPURA – Pegawai hazmat, penjara dan forensik di Singapura bakal menerima 'rakan sekerja' baharu apabila robot manusia dilengkapi kecerdasan buatan (AI) mula digunakan dalam operasi sebenar menjelang 2028.
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong berkata, robot berkenaan akan bekerja bersama Home Team bagi membantu mereka menjalankan tugas bukannya menggantikan tenaga manusia.
“Robot akan mengambil alih tugas rutin, kerja yang memerlukan tenaga fizikal atau tugas berbahaya.
"Anggota pasukan itu pula boleh memberi tumpuan kepada tugas yang memerlukan empati, pertimbangan dan kepimpinan iaitu perkara yang memerlukan naluri manusia,” katanya ketika melancarkan Home Team Humanoid Robotics Centre (H2RC) di One-North pada Rabu.
Sebanyak S$100 juta (RM319 juta) diperuntukkan kepada pusat itu yang dikendalikan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) untuk program meningkatkan keselamatan awam.
Antara fungsi yang sedang diuji termasuk menghantar bekalan penting kepada ambulans dan menjalankan operasi berkaitan bahan berbahaya bagi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta melakukan siasatan selepas kejadian pengeboman dan memeriksa sel penjara.
Tambahnya, pegawai sering berdepan risiko terkena bahan berbahaya, letupan susulan atau struktur bangunan yang mungkin runtuh dalam situasi seperti kebocoran bahan kimia atau selepas berlaku letupan.
“Pada masa depan, robot manusia boleh mengambil alih tugas berisiko tinggi," ujarnya sambil menambah penggunaan teknologi baharu semakin penting bagi negara itu yang berdepan tenaga kerja yang kian terhad.
Sejak dari awal, Home Team telah memanfaatkan sains dan teknologi dalam operasi, namun kini AI bakal dibawa ke dunia sebenar.
Bagi memastikan robot berkenaan dapat digunakan dengan selamat, HTX akan melatih dan menggunakan sistem AI, NGINE yang telah dilengkapi dengan cip terkini.
HTX menjadi organisasi pertama yang menggunakan cip Nvidia GB300 bagi membolehkannya melatih model AI multimodal yang lebih canggih untuk membantu robot memahami dan bertindak balas terhadap persekitaran fizikal. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

