Rombakan kali ketujuh Kabinet Merah Putih

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto melakukan penstrukturan terbesar Kabinet Merah Putih pada Khamis dengan menukar beberapa menteri utama dan menyusun semula portfolio di bawah pentadbirannya.
Di bawah rombakan kali ketujuh itu, Arrmanatha Nasir dilantik Menteri Luar baharu menggantikan Sugiono yang kini memegang peranan sebagai Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan.
Anggota Parti Golkar, Muhammad Sarmuji pula dinamakan sebagai Menteri Perindustrian, mengambil alih tugas Agus Gumiwang Kartasasmita.
Ketua Turus Presiden, Dudung Abdurachman dilantik sebagai Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan manakala Bahlil Lahadalia menggalas tugas Menteri Penyelaras Hiliran dan Peralihan Tenaga yang merupakan portfolio baharu dalam Kabinet.
Bahlil juga kekal sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Mineral.
Prabowo turut menggantikan Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo dengan Ketua Badan Narkotik Nasional, Suyudi Ario Seto. Listyo dilantik sebagai Ketua Pejabat Eksekutif Presiden.
Selain itu, Drajad Hari Wibowo dinamakan sebagai Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi manakala Nurkholisoh Ibnu Aman dan Luky Alfirman masing-masing sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Muhammad Saleh Mustafa dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Irwan Meilano sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Kelautan dan Perikanan.
Rombakan Kabinet terbaharu itu dilakukan kurang tiga minggu selepas Prabowo memecat bekas Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa dan melantik timbalannya, Suahasil Nazara untuk memegang jawatan tersebut yang meraih perhatian banyak pihak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

