'Wang saya 'bersih', ia dari poket saya sendiri' - PM Thailand

BANGKOK - Lawatan mengejut Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke kawasan dilanda banjir dan menghulurkan wang tunai kepada penduduk mencetuskan perdebatan di media sosial.
Anutin melakukan kunjungan tanpa notis ke perumahan Ban Ua-Athorn di Bang Khen, Sai Mai bagi mengagihkan bantuan dan meninjau keadaan mangsa yang terjejas bencana itu.
Komuniti itu dihuni lebih 10,000 penduduk. Beberapa penduduk meminta bergambar bersama Perdana Menteri berkenaan.
Dalam siaran langsung di Facebook, Anutin dilihat mengeluarkan sejumlah wang tunai dari poket seluarnya sebelum memberikan wang kertas 1,000 baht kepada penduduk.
“Diam-diam, ini sahaja yang saya ada. Tak banyak pun,” katanya ketika memberikan sumbangan wang tunai itu yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook.
Rakaman itu kemudiannya tersebar dan menerima pelbagai reaksi warganet yang turut mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan wajar dan sesuai dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.
"Wang saya 'bersih', ia adalah dari poket saya sendiri. Jumlah yang saya berikan kepada mereka tidak sampai separuh daripada gaji saya sebagai Perdana Menteri," ujarnya pada Rabu.
Beliau berkata, penduduk sanggup berjalan jauh untuk menemuinya, namun ketika itu bekalan bantuan yang dibawa sudah habis.
“Jadi, saya berikan apa yang saya ada. Itu sahaja niat saya,” katanya yang tetap mempertahankan tindakan itu meskipun dikritik banyak pihak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

