Bekas CEO UiTM Holdings didakwa pecah amanah RM37.3 juta

SHAH ALAM - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang RM37.37 juta, sembilan tahun lalu.
Azlizan Fadzil, 53, hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang RM37,374,612.68 yang diperuntukkan untuk pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Dia didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta tersebut dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya melalui pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada tujuan yang ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

