Penghantar makanan langgar pelajar sekolah lintas jalan ditahan

SUNGAI BULOH - Seorang penghantar makanan ditahan selepas dipercayai melanggar pelajar sekolah yang sedang melintas jalan dalam kejadian di Persiaran Saujana 4 di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 10.02 pagi pada 29 September.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.36 pagi apabila penunggang motosikal berkenaan yang dalam perjalanan menghantar pesanan makanan ke Puncak Alam telah melanggar seorang pelajar yang sedang melintas jalan.
"Kedua-dua individu itu mengalami kecederaan ringan dan pelajar berkenaan telah dibawa ke Sunway Medical Centre Kota Damansara untuk mendapatkan rawatan.
"Susulan kejadian, penghantar makanan berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan pelajar sekolah dipercayai dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan.
Rakaman video terbabit dipercayai dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan, khususnya di kawasan sekolah.
"Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

