Universiti kita sedang bentuk generasi bagaimana? - Gamis

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Universiti di Malaysia perlu memberi penekanan kepada pembentukan ilmuwan, pemimpin dan individu berintegriti selain memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai nilai serta tanggungjawab kepada masyarakat.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Nasrul Rahman berkata, persoalan mengenai hala tuju pendidikan tinggi itu wajar diberi perhatian susulan idea #Malaysia100 yang dibawa Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.

“Kalau #Malaysia100 bertanya tentang Malaysia yang mahu kita wariskan kepada generasi 100 tahun akan datang.

“Maka hari ini saya mahu bertanya tentang universiti yang mahu kita wariskan kepada mahasiswa 10, 20 dan 30 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kempen Legasi #Malaysia100 dilancarkan sempena Hari Kebangsaan dengan misi menggunakan tempoh setahun hingga 31 Ogos 2027 untuk menghimpunkan pandangan rakyat dan menentukan hala tuju negara sebelum Malaysia menuju usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.

Kempen berkenaan turut membuka ruang dialog nasional melibatkan rakyat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang atau fahaman politik bagi membayangkan bentuk Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.

Mengulas lanjut, Nasrul berkata, kejayaan institusi pendidikan tinggi tidak seharusnya dinilai berdasarkan ranking, jumlah graduan, penerbitan jurnal atau bilangan program akademik semata-mata.

“Kita mahu universiti di Malaysia menjadi apa dalam tempoh 30 tahun akan datang? Soalan ini bukan sekadar soal ranking universiti, jumlah graduan, bilangan program akademik atau berapa banyak universiti yang kita ada,” katanya.

Menurutnya, universiti turut berperanan menyediakan mahasiswa untuk menjadi tenaga profesional dan pemimpin dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perubatan, kejuruteraan, perundangan, perkhidmatan awam, akademik dan keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Nasrul berkata, beberapa isu berkaitan tatakelola, pengurusan dan kebajikan mahasiswa perlu diberi perhatian dalam menilai keupayaan institusi pendidikan tinggi menghadapi keperluan masa depan.

Beliau turut menyentuh kerugian terkumpul UiTM Holdings yang dilaporkan sekitar RM157 juta, namun menjelaskan angka itu merujuk kepada tempoh terdahulu dan tidak secara automatik bermaksud ia berlaku di bawah kepimpinan semasa.

“Kalau universiti mahu melahirkan penjawat awam dan profesional yang amanah, maka budaya tatakelola dan integriti mesti bermula dari dalam universiti itu sendiri,” katanya.

Menurut Nasrul, isu pengurusan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghukum keseluruhan institusi sebaliknya perlu dijadikan ruang memperbaiki kelemahan dan memperkukuh sistem pendidikan tinggi.

Beliau turut berpandangan pembangunan mahasiswa perlu memberi perhatian kepada budaya ilmu, pemikiran kritis, kepimpinan, disiplin dan tanggungjawab supaya mahasiswa bukan hanya mengikuti program, tetapi memahami tujuan serta nilai di sebalik pendidikan yang diterima.

“Persoalannya bukan lagi sekadar universiti kita berada di ranking berapa, tetapi universiti kita sedang membentuk generasi yang bagaimana?” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!